Khamis, April 05, 2012

Awas Bahaya Kaum Khawarij !


Mencela dan Memusuhi Adalah Mazhab Khawarij ...Pas ?


Mengusik kehormatan dan kredibiliti pemerintah dengan cara memaki-hamun, mencela, menyebarkan aibnya, dan mengkritik mereka secara terbuka adalah satu bentuk kesalahan yang amat besar di sisi Islam. Bahkan ia termasuk benih-benih pemberontakkan terhadap pemerintah yang menjadi sebab rosaknya agama, tergugatnya keamanan, dan menghilangnya kemaslahatan dunia sekaligus.

Perbuatan mengecam dan memburuk-burukkan pemerintah adalah satu bentuk bid’ah yang sengaja diada-adakan dalam perlaksanaan amar ma’ruf nahi mungkar. Ia mula dicipta oleh seorang tokoh Yahudi bernama ‘Abdullah B. Saba’ yang berpura-pura memeluk Islam ketika zaman pemerintahan Khalifah ‘Utsman B. Affan radhiyallahu ‘anhu. Disebabkan fitnah yang direka dan disebarkan oleh ‘Abdullah B. Saba’ inilah akhirnya sejarah Islam menjadi kacau-bilau sehingga terbunuhnya ‘Utsman dan ‘Ali. Ideologi yang beliau cetuskan tersebut kemudiannya makin tersebar hingga meracuni dan memperdaya sebahagian kelompok umat Islam setelah itu yang mengakibatkan munculnya firqah-firqah sesat seperti Khawarij dan syi’ah, yang kemudiannya dari Khawarij lahirnya Murji’ah, Qadariyah, dan Muktazilah.



Lebih awal dari itu, pemikiran mencela pemimpin secara terbuka ini juga telah wujud sejak hayat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam lagi. Bahkan celaan tersebut diungkapkan terus kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tanpa segan-silu di hadapan umum. Orang yang mencela Rasulullah tersebut dikenali sebagai Dzul Khuwaishirah sebagaimana kata Imam Ibnul Jauzi. Beliau menuntut Rasulullah supaya berlaku adil dan bertaqwa kepada Allah kerana pada anggapannya Rasulullah telah berlaku khianat dalam suatu proses pembahagian harta ghanimah ketika itu.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada ketika itu pun marah dengan celaannya lalu mengatakan:

وَمَنْ يَعْدِلُ إِذَا لَمْ أَعْدِلْ قَدْ خِبْتَ وَخَسِرْتَ إِنْ لَمْ أَكُنْ أَعْدِلُ

“Celakalah engkau, siapa lagi yang dapat berlaku adil jika aku dikatakan tidak adil? Benar-benar celaka dan rugi jika aku tidak dapat berlaku adil.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 11/442, no. 3341)

Kemudian orang tersebut pun berlalu pergi.

Dalam riwayat yang lain setelah orang ini pergi, Rasulullah pun bersabda (kepada para sahabatnya yang hadir ketika itu):

إِنَّ مِنْ ضِئْضِئِ هَذَا قَوْمًا يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ لَا يُجَاوِزُ حَنَاجِرَهُمْ يَمْرُقُونَ مِنْ الْإِسْلَامِ مُرُوقَ السَّهْمِ مِنْ الرَّمِيَّةِ يَقْتُلُونَ أَهْلَ الْإِسْلَامِ وَيَدَعُونَ أَهْلَ الْأَوْثَانِ لَئِنْ أَدْرَكْتُهُمْ لَأَقْتُلَنَّهُمْ قَتْلَ عَادٍ


“Sesungguhnya daripada orang ini akan muncul sekumpulan manusia yang hebat membaca al-Qur’an tetapi bacaannya tidak melepasi kerongkongan. Mereka terlepas dari batas-batas Islam sebagaimana anak panah menembusi sasarannya (buruannya). Mereka membunuh ahlul Islam dan membiarkan hidup ahlul Autsan (penyembah berhala). Jika aku sempat menemui mereka, nescaya akan aku perangi (bunuh) mereka sebagaimana dibunuhnya kaum ‘Aad.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 22/441, no. 6880)

Ketika membahaskan hadis-hadis ini dan yang berkaitan, Imam Ibnul Jauzi rahimahullah (Wafat: 597H) menyatakan dalam kitabnya Talbis Iblis di bab perbahasan Khawarij, “Dzul Khuwaishirah adalah tokoh khawarij yang pertama sekali muncul dalam sejarah Islam. Ia menganggap dirinya dalam kebenaran berdasarkan sangkaannya semata-mata. Dia tidak memahami bahawa pendapat Rasulullah-lah yang perlu diutamakan dan didahulukan berbanding segala pandangan yang lain. Kemudian daripada Dzul Khuwaishirah ini lahir pula kelompok yang memisahkan diri dari ketaatan terhadap pemerintahan ‘Ali radhiyallahu ‘anhu. (Rujuk: Talbis Iblis, m/s. 81-82 – Maktabah Syamilah)


Fitnah-fitnah pemisahan dari ketaatan terhadap pemerintahan ‘Ali tersebut pun akhirnya mengobarkan api kebencian dan pemberontakan. Termasuk di dalamnya adalah fitnah perang Jamal dan Siffin yang mengakibatkan para sahabat bertembung sesama sendiri akibat diapi-apikan oleh kelompok ketiga berideologikan khawarij.


Pada sela-sela masa seterusnya muncullah tokoh-tokoh khawarij lainnya mewarisi ideologi dua tokoh utama mereka ini (Dzul Khuwaishirah dan ‘Abdullah B. Saba’). Antaranya adalah seperti ‘Abdullah B. Muljam yang telah membunuh ‘Ali radhiyallahu ‘anhu ketika sedang keluar untuk solat Subuh dengan pedang yang disapu racun. Manakala sekutu ‘Abdullah B. Muljam iaitu al-Barak B. ‘Abdullah dan Amr B. Bakar at-Tamimi yang merancang membunuh Mu’awiyah B. Abu Sufiyan dan Amr B. Al-‘Ash. ‘Abdullah B. Muljam adalah seorang yang kuat beribadah dan hebat bacaan al-Qur’annya, namun sayang manhaj berfikirnya menyimpang dari methodologi para sahabat dalam memahami nash-nash agama.


Di zaman al-Hasan B. ‘Ali radhiyallahu ‘anhuma, ketika beliau hendak melaksanakan perdamaian dan menyerahkan pemerintahan kepada Mu’awiyah B. Abu Sufiyan, muncul pula tokoh bernama al-Jarrah B. Sinan. Beliau tampil mencela al-Hasan dan Ayahnya ‘Ali radhiyallahu ‘anhu. Tanpa teragak-agak, al-Hasan pun membunuhnya.


Setelah fasa pemerintahan ‘Ali hingga Mu’awiyah B. Abu Sufiyan, muncul pula nama Mirdas B. Udayyah dan Nafi’ B. Al-Azraq. Mirdas B. Udayyah adalah tokoh yang lahir dari serpihan pemberontak di zaman ‘Ali radhiyallahu ‘anhu yang kemudiannya memimpin pemberontakkan menentang pemerintahan Yazid B. Mu’awiyah. Di antara sikap beliau adalah suka mencari-cari kesalahan pemimpin dan mencanangnya untuk memburuk-burukkan.


Daripada Ziyad B. Kusaib, beliau menceritakan:


كُنْتُ مَعَ أَبِي بَكْرَةَ تَحْتَ مِنْبَرِ ابْنِ عَامِرٍ وَهُوَ يَخْطُبُ وَعَلَيْهِ ثِيَابٌ رِقَاقٌ فَقَالَ أَبُو بِلَالٍ انْظُرُوا إِلَى أَمِيرِنَا يَلْبَسُ ثِيَابَ الْفُسَّاقِ فَقَالَ أَبُو بَكْرَةَ اسْكُتْ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ أَهَانَ سُلْطَانَ اللَّهِ فِي الْأَرْضِ أَهَانَهُ اللَّهُ


Pada suatu masa pernah aku berada tepat di bawah mimbar Ibnu ‘Amir bersama-sama Abi Bakrah. Ketika itu Ibnu ‘Amir sedang memberi khutbah dengan mengenakan pakaian yang nipis (jarang). Lalu Abu Bilal berteriak, “Lihatlah pemimpin kita ini, dia mengenakan pakaian orang fasiq!”

Maka, Abi Bakrah pun berkata, “Diamlah, bahawasanya aku telah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Sesiapa yang menghina penguasa Allah di muka bumi, nescaya Allah akan menghinakannya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Kitab al-Fitan, 8/164, no. 2150. Al-Iraqi berkata, isnadnya sahih dan at-Tirmidzi menghasankannya, Takhrij Ahadits al-Ihya’, 5/246, no. 2246. Al-Albani mensahihkannya, Shahih Sunan at-Tirmidzi, 5/224, no. 2224)

Imam adz-Dzahabi rahimahullah berkata:

أبو بلال هذا هو مرداس ابن أدية، خارجي، ومن جهله عد ثياب الرجال الرقاق لباس الفساق


“Abu Bilal dalam hadis tersebut adalah Mirdas B. Udayyah, seorang yang berfahaman Khawarij. Disebabkan kebodohannya, beliau pun menganggap pakaian nipis bagi kaum lelaki sebagai pakaian orang fasiq.” (adz-Dzahabi, Siyar A’lam an-Nubala’, 3/20 dan 14/508)


Kisah-kisah berkaitan kekacauan akibat fitnah ideologi khawarij ini tidak berhenti setakat itu. Bahkan ia terus berlangsung seiring dengan beredarnya zaman. Termasuklah zaman kita hari ini.


Di antara syi’ar utama kelompok khawarij ini adalah mereka sentiasa berusaha mengambil kesempatan di atas kelemahan para pemerintah umat Islam bagi tujuan memisahkan diri dari ketaatan terhadap kepimpinannya dan berhajat mengambil alih tampuk kuasa tersebut dengan apa jua cara walapun jelas dilarang oleh agama. Mereka menganggap perbuatan memisahkan diri dari ketaatan terhadap pemerintah sebagai salah satu bentuk sarana amar ma’ruf nahi mungkar dan termasuk amalan jihad yang mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.


Selain itu, mereka juga dikenali memiliki keyakinan (fahaman) bahawa sesiapa sahaja yang melakukan dosa besar adalah kafir. Walaupun adakalanya penetapan dosa tersebut hanya pada andaian mereka semata-mata. Mereka juga terkenal dengan sikap terburu-buru dalam menyesat dan mengkafirkan umat Islam atas alasan dosa besar.

Imam al-Barbahari rahimahullah (Wafat: 329H) berkata:


ومن خرج على إمام من أئمة المسلمين فهو خارجي قد شق عصا المسلمين وخالف الآثار وميتته ميتة جاهلية ولا يحل قتال السلطان ولا الخروج عليه وإن جار وذلك


“Dan sesiapa yang keluar dari ketaatan terhadap para pemerintah umat Islam maka mereka termasuk golongan khawarij. Mereka bertindak memecah-belahkan perpaduan umat Islam dan menentang sunnah. Sekiranya mereka mati, matinya adalah mati jahiliyyah. Tidak boleh mengangkat senjata memberontak (atau memerangi) pemerintah dan tidak boleh keluar dari ketaatan terhadapnya walaupun pemimpin tersebut seorang yang jahat.” (Syarhus Sunnah, no. 33)


Para ulama ahlus sunnah menjelaskan pemberontakan terhadap pemerintah yang paling ringan adalah memusuhi dengan hati, kemudian celaan atau hasutan kebencian dengan lisan, dan yang paling berat adalah dengan tangan dan senjata. Menurut Imam asy-Syahrastani rahimahullah (Wafat: 548H) dalam kitabnya al-Milal wa an-Nihal, pemerintah dalam persoalan ini tidak terhad kepada zaman ketika Khulafa’ al-Rasyidin atau tabi’in semata-mata, tetapi juga termasuk para pemerintah umat Islam di setiap zaman. Sama ada pemerintah yang adil, zalim, mahupun yang fasiq. Ini sebagaimana kata beliau:


الخوارج والمرجئة والوعيدية كل من خرج عن الإمام الحق الذي اتفقت الجماعة عليه يسمى خارجيا سواء كان الخروج في أيام الصحابة على الأئمة الراشدين أو كان بعدهم على التابعين بإحسان والأئمة في كل زمان


“Al-Khawarij, al-Murji’ah, dan al-Wa’idiyyah digunakan untuk menyebut semua kelompok masyarakat yang keluar dari ketaatan terhadap pemerintah yang sah dan diperakui oleh jama’ah (majoriti) umat Islam. Istilah khawarij digunakan untuk menyebut kelompok masyarakat yang keluar dari ketaatan dan tidak mengakui keabsahan pemerintah yang dilantik sama ada pada zaman para sahabat, khulafa’ur Rasyidin, tabi’in, atau pada masa setelah itu di setiap zaman.” (al-Milal wa an-Nihal, 1/113 – Daar al-Ma’rifah)


Imam al-Ajurri rahimahullah (Wafat: 360H) menegaskan bahawa khawarij adalah kaum yang jahat lagi derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka dikenali rajin beribadah seperti solat malam, berpuasa, dan membaca al-Qur’an, tetapi kebaikan mereka ini sedikitpun tidak memberi manfaat. Kerana mereka memahami nash-nash agama dengan kaedah dan tafsiran yang menyeleweng lagi mengikuti hawa nafsu. Kata beliau:

لم يختلف العلماء قديماً وحديثاً أن الخوارج قوم سوء، عصاة لله عز وجل ولرسوله صلى الله عليه وسلم، وإن صلوا وصاموا، واجتهدوا في العبادة ، فليس ذلك بنافع لهم، وإن أظهروا الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر، وليس ذلك بنافع لهم، لأنهم قوم يتأولون القرآن على ما يهوون، ويموهون على المسلمين. وقد حذرنا الله عز وجل منهم، وحذرنا النبي صلى الله عليه وسلم ،وحذرناهم الخلفاء الراشدون بعده، وحذرناهم الصحابة رضي الله عنهم ومن تبعهم بإحسان رحمة الله تعالى عليهم. والخوارج هم الشراة الأنجاس الأرجاس، ومن كان على مذهبهم من سانر الخوارج، يتوارثون هذا المذهب قديماً وحديثاً، ويخرجون على الأئمة والأمراء ويستحلون قتل المسلمين


“Para ulama sepakat menyatakan bahawa khawarij adalah suatu kaum yang jahat dan derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya walaupun mereka solat, berpuasa, dan bersungguh-sungguh dalam ibadah. Tetapi kebaikan yang mereka usahakan itu tidaklah memberi sebarang manfaat sedikitpun untuk mereka kerana mereka telah menyelewengkan makna ayat-ayat al-Qur’an bersesuaian dengan hawa nafsunya. Mereka juga menonjolkan amalan amar ma’ruf nahi mungkar, tetapi ia tidak bermanfaat bagi mereka. Kerana mereka gemar menafsirkan al-Qur’an dengan hawa nafsu dan menipu umat Islam. Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla telah memberi peringatan kepada kita dari bahaya dan kesesatan mereka. Begitu juga Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, para khulafa al-Rasyidin, para sahabat radhiyallahu ‘anhum, dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik turut mengingatkan. Khawarij ini dan yang sealiran dengannya adalah orang-orang yang jahat, najis, dan kotor. Mereka saling mewarisi fahaman sesat ini sejak dahulu sehinggalah sekarang. Mereka memisahkan diri dari para pemerintah umat Islam, sehingga ada dari mereka yang menghalalkan tindakan membunuh umat Islam.” (al-Ajurri, asy-Syari’ah, 1/22)

Kemudian beliau memberikan satu peringatan tegas untuk kita semua dengan katanya:


قد ذكرت من التحذير عن مذاهب الخوارج ما فيه بلاغ لِمن عصمه الله عَزَّ وَجَلَّ الكريم، عن مذهب الخوارج، ولَم ير رأيهم وصبر عَلَى جَوْر الأئمة، وحَيْف الأمراء، ولَم يَخرج عليهم بسيفه، وسأل الله العظيم كشف الظلم عنه، وعن جَميع المسلمين، ودعا للولاة بالصلاح، وحجَّ معهم، وجاهد معهم كل عدو للمسلمين، وصلى خلفهم الجمعة والعيدين، وإن أمروه بطاعتهم فأمكنته طاعتهم أطاعهم، ولِمن لَم يُمكنه اعتذر إليهم، وإن أمروه بِمعصية لَم يطعهم، وإذا دارت بينهم الفتن لزم بيته، وكفَّ لسانه ويده، ولَم يَهو ما هُم فيه، ولَم يُعن عَلَى فتنته، فمن كَانَ هذا وصفه كَانَ عَلَى الطريق المستقيم إن شاء الله تعالَى


“Sungguh-sungguh aku telah menyebutkan peringatan (tahdzir) terhadap mazhab khawarij. Yang mana pada peringatan tersebut mengandungi khabar bagi orang yang dipelihara oleh Allah ‘Azza wa Jalla yang maha Mulia dari mazhab al-khawarij, dan tidak supaya berpegang dengan mazhab mereka, dan hendaklah bersabar dengan kezaliman para pemimpin, juga dengan ketidak-adilan pemimpin, dan tidak keluar dari ketaatan kepada mereka dengan senjata (pedang). Kita berharap kepada Allah yang maha Agung supaya menghilangkan kezaliman darinya, juga dari semua kaum muslimin, dan mendoakan para pemimpin dengan kebaikan. Juga bersama-sama dengan mereka dalam melaksanakan haji, berjihad menentang musuh umat Islam, solat juma’at dan solat dua hari raya bersama mereka. Sesiapa yang bersifat seperti ini bererti dia berada di atas jalan yang lurus, insyaAllah.” (al-Ajurri, asy-Syari’ah, 1/37)


Bibit-bibit pemisahan diri dari ketaatan terhadap pemerintah biasanya bermula dengan perasaan iri dan dengki di dalam hati. Kemudian dengan provokasi kebencian melalui lisan mahupun tulisan. Ini akan mengakibatkan fitnah yang lebih besar lagi seperti perselisihan, pertengakaran, kebencian, kemarahan dan perpecahan. Sehingga akhirnya akan mengakibatkan sikap anti pemerintah dan mungkin pergolakkan di kalangan rakyat untuk menuntut revolusi. Ini akan membawa kepada pertembungan rakyat dengan pemerintah. Fenomena seperti ini bukan sahaja berlaku pada zaman awal Islam, tetapi terus berlarutan di setiap zaman. Termasuk yang terbaru sebagaimana sedang berlaku di Timur tengah seperti di Tunisia, Mesir, Libya, Bahrain, dan Yaman sekarang. Kesudahan dari perkara ini amatlah buruk, iaitu hilangnya keamanan, rosaknya harta benda, hilangnya jiwa (pertumpahan darah), merugikan masa, dan bahkan hingga hilangnya kedaulatan negara.


Oleh itu, berhati-hatilah dalam bersikap terhadap para pemimpin. Hendaklah kita melazimi manhaj ilmu, sabar, dan bertindak di atas maslahah serta kaedah yang benar. Tidak mengikuti hawa nafsu, emosi dan kebencian sehingga mengikuti jejak langkah kaum sesat Khawarij. Yang kemudian dari fahaman khawarij tersebut menyebabkan munculnya pelbagai bentuk kesesatan dan penyimpangan lainnya.


Imam Ibnul Jauzi rahimahullah (Wafat: 597H) menyatakan:


ومن رأى هؤلاء أحدث المعتزلة في التحسين والتقبيح إلى العقل وأن العدل ما يقتضيه ثم حدث القدرية في زمن الصحابة وصار معبد الجهني وغيلان الدمشقي والجعد بن درهم إلى القول بالقدر ونسج على منوال معبد الجهني واصل بن عطاء وانضم إليه عمرو بن عبيد وفي ذلك الزمان حدثت سنة المرجئة حين قالوا لا يضر مع الإيمان معصية كما لا ينفع مع الكفر طاعة ثم طالعت المعتزلة مثل أبي الهذيل العلاف والنظام ومعمر والجاحظ كتب الفلاسفة في زمان المأمون واستخرجوا منها ما خلطوه بأوضاع الشرع مثل لفظ الجوهر والعرض والزمان والمكان والكون وأول مسألة اظهروها القول بخلق القرآن وحينئذ سمي هذا الفصل فصل علم الكلام


“Dari semua inilah (fitnah ideologi khawarij), muncul pula golongan al-Muktazilah yang menyerahkan soal penilaian baik dan buruk berdasarkan pertimbangan akal. Keadilan juga dinilai dengan akal. Kemudian muncul pula firqah Qadariyah pada era sahabat. Ia mula diutarakan oleh Ma’bad al-Juhani, Ghailan ad-Dimasyqi, dan Ja’ad B. Dirham. Kemudian ideologi muktazilah ini dikembangkan oleh Washil B. Atha’ (pada fasa tabi’in). Seterusnya ia didukung pula oleh Amr B. Ubaid. Pada ketika inilah muncul pula golongan Murji’ah yang mengatakan, “Suatu maksiat tidak akan memberi sebarang kesan selagi ada keimanan, ini sebagaimana halnya ketaatan yang tidak akan berguna selagi ada kekafiran.” Kemudian berkembang lagi pemikiran Muktazilah melalui Abu al-Hudzail B. Al-Allaf, an-Nizham, Ma’mar dan al-Jahizh. Golongan Muktazilah ini kemudiannya menekuni buku-buku falsafah ketika zaman pemerintahan al-Ma’mun. Melalui buku-buku falsafah tersebut mereka pun membuat kesimpulan (mengeluarkan pendapat) yang bercampur-aduk dengan urusan-urusan syari’at. Ini seperti munculnya istilah-istilah baru berkaitan jisim, bukan jisim, masa, tempat, dan alam. Permasalahan pertama yang mereka lontarkan kepada umum adalah soal status al-Qur’an adalah makhluk. Maka zaman ini disebut sebagai era ilmu kalam (teologi).” (Talbis Iblis, m/s. 87 – Maktabah Syamilah)

Sebenarnya mereka yang memiliki ideologi khawarij ini, dalam masa yang sama mereka juga mungkin membawa ideologi Murji’ah dan Muktazilah. Ini kerana mereka memfokuskan kesalahan hanya di pihak pemerintah semata-mata. Walau sekecil manapun perkara kemungkaran tersebut sekiranya berada di pihak pemerintah, mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk membongkar dan mengkritiknya lalu menjadikannya sebagai bahan membantai pemerintah di pentas-pentas umum. Manakala di pihak mereka walau melakukan pelbagai kemungkaran termasuk syirik dan bid’ah, mereka akan membiarkan dan mendiamkannya. Bahkan di sisi mereka, kemungkaran boleh jadi halal atas tiket menentang kezaliman pemerintah. Mereka menganggap mengkritik dan mencerca pemerintah adalah suatu yang tidak memiliki kesalahan sama sekali selagi mana datangnya dari kelompok mereka. Mereka juga mengimani bahawa menyertai praktik sistem demokrasi yang ada hari ini adalah halal atau sekurang-kurangnya tidak akan memberi kesan dosa atas tiket (wasilah) menjatuhkan pemerintah yang mereka anggap sebagai jihad amar ma’ruf nahi mungkar.


Mereka juga boleh bersama sesiapa sahaja sama ada golongan yang fasiq, ahli bid’ah, pelaku syirik, atau penyembah berhala (ahlul autsan) atas fokus menentang pemerintah. Dan mereka tidak akan mengkritik sesiapa sahaja di pihak mereka dengan menganggapnya sebagai tidak ada apa-apa. Atau mungkin paling tinggi pun, akan bersikap basa-basi dan acuh tidak acuh dengan kesalahan teman-teman mereka. Sebaliknya akan menentang habis-habisan sesiapa sahaja yang berada di sisi pemerintah. Inilah bentuk-bentuk pemikiran murji’ah yang menyelinap dalam kelompok penentang pemerintah hari ini dari kalangan pembangkang atau pergerakan dakwah politik.


Setelah mereka bergelumang dengan ideologi khawarij dan murji’ah, dalam masa yang sama juga mereka akan mengambil kaedah-kaedah muktazilah iaitu mengedepankan akal dalam mentakwil nash-nash syari’at bagi menghalalkan segala bentuk perbuatan mungkar mereka. Demikianlah dahsyat dan rosaknya akar pemikiran khawarij. Inilah yang banyak berlaku dalam kalangan golongan pembangkang yang memusuhi pemerintah di pelbagai negara Islam hari ini.


Sebab itulah Imam asy-Syahrastani (Wafat: 548H) berkata dalam al-Milal wa an-Nihal:


والمرجئة: صنف آخر تكلموا في الإيمان والعمل إلا أنهم وافقوا الخوارج في بعض المسائل التي تتعلق بالإمامة


“al-Murji’ah adalah satu kelompok yang berbicara tentang iman dan amal, tetapi dalam masa yang sama kelompok ini sepakat dengan khawarij dalam beberapa perkara terutamanya tentang pemerintahan (imamah).” (al-Milal wa an-Nihal, 1/113 – Daar al-Ma’rifah)


Untuk melihat lebih lanjut berkaitan kecelaruan pemikiran khawarij moden ini, para pembaca boleh merujuk karya Syaikh ‘Abdul Malik Ramadhani al-Jaza’iri yang berjudul, Madarikun Nadzar fii as-Siyasah wa al-Ihfi’aalat al-Hamaasiyyah.


Dalam kitabnya tersebut Syaikh ‘Abdul Malik menukilkan sebahagian perkataan salaf yang menyatakan bahawa Khawarij adalah murji’ah dalam masa yang sama. Antara nukilan tersebut, “Murji’ah beranggapan tidak wajib mentaati pemerintah” sebagaimana disebutkan oleh Imam ash-Shabuni dalam Aqidatus Salaf Ashhabul Hadits. Kemudian kata Imam Ahmad, “Bahawasanya Khawarij itulah murji’ah.” Kemudian beliau menukilkan - Termasuk di dalam sikap dan karektor pemikiran murji’ah adalah mereka mendiamkan kesesatan ahli bid’ah dan tidak membongkarnya. Sebaliknya mereka mencela dan memperlekehkan pula orang yang mengajarkan sunnah dan tauhid. Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa murji’ah memiliki sikap bertoleransi dengan sesiapa sahaja sama ada dari kalangan ahli maksiat mahupun ahli bid’ah selagi mana bersama-sama kelompok mereka. Kenyataan ini beliau nukilkan daripada Majmu’ al-Fatawa oleh Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah (12/467) dan Badai’u at-Tafsir oleh Ibnul Qayyim.


Kemudian beliau menyebutkan dengan kata-kata yang tegas:


ولا يَختلف اثنان أن هذا من أعظم الأسس التي يرتكز عليها دين الحركية؛ وهل ثَمَّ أحدٌ يُنكر مقولتهم: (ليَعذر بعضنا بعضاً فيما اختلفنا فيه، ولنعمل فيما اتَّفقنا عليه!!)، وقد بيّنت ـ في هامش قريب ـ من كلام حسن البنا أنهم يَعنون الاختلاف بإطلاق! قالوا هذا؛ لأنهم لو أخذوا يُنكرون على أهل البدع لضيَّعوا أكثر متبوعيهم الذين يمدّونهم في الغيّ!


“Tidak ada yang menyanggah bahawa kaedah seperti ini adalah prinsip (atau asas) utama bagi sebuah dakwah dalam harakah (atau parti) politik. Adakah sesiapa yang mempertikaikan bahawa merekalah yang mengatakan, “Marilah kita saling bertoleransi dalam apa yang diperselisihkan, dan marilah kita bekerjasama dalam perkara yang kita sepakati.” Telah saya jelaskan pada nota kaki sebelumnya daripada perkataan Hasan al-Banna bahawa maksud mereka adalah merujuk segala bentuk perselisihan! Mereka sengaja mencanangkan kaedah tersebut kerana apabila mereka menyanggah ahli bid’ah, maka akan bertempiaran larilah para pengikut mereka yang selama ini membantu mereka dalam kesesatan!” (Madarikun Nadzar fii as-Siyasah, m/s. 257)


Demikianlah syubhat dan celarunya pemikiran kelompok sesat penentang pemerintah bermazhab khawarij. Atas sebab itulah disebutkan daripada sebuah hadis bahawa Khawarij adalah anjing-anjing neraka.


Ini antaranya sebagaimana dalam hadis berikut:


عَنْ سَعِيدُ بْنُ جُمْهَانَ قَالَ لَقِيتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ أَبِي أَوْفَى وَهُوَ مَحْجُوبُ الْبَصَرِ فَسَلَّمْتُ عَلَيْهِ قَالَ لِي مَنْ أَنْتَ فَقُلْتُ أَنَا سَعِيدُ بْنُ جُمْهَانَ قَالَ فَمَا فَعَلَ وَالِدُكَ قَالَ قُلْتُ قَتَلَتْهُ الْأَزَارِقَةُ قَالَ لَعَنَ اللَّهُ الْأَزَارِقَةَ لَعَنَ اللَّهُ الْأَزَارِقَةَ حَدَّثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُمْ كِلَابُ النَّارِ قَالَ قُلْتُ الْأَزَارِقَةُ وَحْدَهُمْ أَمْ الْخَوَارِجُ كُلُّهَا قَالَ بَلَى الْخَوَارِجُ كُلُّهَا قَالَ قُلْتُ فَإِنَّ السُّلْطَانَ يَظْلِمُ النَّاسَ وَيَفْعَلُ بِهِمْ قَالَ فَتَنَاوَلَ يَدِي فَغَمَزَهَا بِيَدِهِ غَمْزَةً شَدِيدَةً ثُمَّ قَالَ وَيْحَكَ يَا ابْنَ جُمْهَانَ عَلَيْكَ بِالسَّوَادِ الْأَعْظَمِ عَلَيْكَ بِالسَّوَادِ الْأَعْظَمِ إِنْ كَانَ السُّلْطَانُ يَسْمَعُ مِنْكَ فَأْتِهِ فِي بَيْتِهِ فَأَخْبِرْهُ بِمَا تَعْلَمُ فَإِنْ قَبِلَ مِنْكَ وَإِلَّا فَدَعْهُ فَإِنَّكَ لَسْتَ بِأَعْلَمَ مِنْهُ

Daripada Sa’id B. Jumhan, beliau berkata, “Aku menemui ‘Abdullah B. Abi Aufa, ketika itu beliau tidak dapat melihat (buta). Kemudian aku mengucapkan salam kepadanya.


Beliau bertanya, “Siapakah engkau?” Aku menjawab, “Aku adalah Sa’id B. Jumhan.”

Beliau bertanya lagi, “Apakah yang dilakukan oleh ayahmu?” Aku menjawab, “Beliau telah dibunuh oleh (kaum) al-Azariqah.” Beliau pun berkata, “Semoga Allah melaknat kelompok al-Azariqah. Semoga Allah melaknat kelompok al-Azariqah. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah menceritakan kepada kami, bahawa mereka adalah anjing-anjing neraka.”


Aku bertanya, “Adakah hanya kelompok al-Azariqah sahaja, atau merujuk kepada semua kaum Khawarij?” Beliau menjawab, “Ya, benar. Semua kaum Khawarij.”


Aku berkata, “Sesungguhnya para penguasa sedang menzalimi rakyat dan berbuat tidak adil kepada mereka.” Akhirnya Abdullah bin Abi Aufa memegang tanganku dan menggenggamnya dengan sangat erat, lalu beliau berkata, “Duhai celaka kamu wahai Ibnu Jumhan. Hendaklah kamu sentiasa bersama as-Sawadul A’dzam, hendaklah kamu sentiasa bersama as-Sawadul A’zham. Sekiranya engkau mahu penguasa tersebut mendengar nasihat kamu, maka datangilah rumahnya dan beritahulah kepadanya apa-apa yang kamu ketahui sehingga ia menerimanya. Jika tidak, maka tinggalkanlah, kerana kamu tidak lebih tahu daripada dia.” (Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, 32/157, no. 19415. Lihat tahqiq Syu’aib al-Arnauth. Majmu’ az-Zawa’id, 5/414, no. 9163. Al-Haitsami berkata, “Diriwayatkan oleh Ahmad dan ath-Thabrani, dan para perawi Ahmad adalah perawi tsiqah.” Dinilai hasan oleh al-Albani, Dzilal al-Jannah, 2/143, no. 905 dan Abdus Salam Barjas dalam Mu’ammalatul Hukkam)


Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:


مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ


“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhir (Kiamat), hendaklah ia berkata yang baik-baik atau hendaklah ia diam.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 20/116, no. 5994)


Umar al-Bakkali pernah menyatakan:

إذا كانت عليكم أمراء يأمرونكم بالصلاة والزكاة، حلت لكم الصلاة خلفهم، وحرم عليكم سبهم


“Apabila kamu dipimpin oleh pemimpin yang memerintahkan kamu untuk solat dan mengeluarkan zakat, maka halal bagi kamu solat di belakang mereka, dan diharamkan ke atas kamu mencaci-maki mereka.”


Syaikh ‘Abdus Salam B. Barjas menyatakan tentang riwayat ini, “Menurut al-Hafiz dalam al-Ishabah, sanadnya sahih.” (Rujuk: Mu’ammalatul Hukkam fi Dhaw al-Kitab wa as-Sunnah)


Imam al-Bukhari rahimahullah meriwayatkan:


عون السهمى اتيت ابا امامة فقال لا تسبوا الحجاج فانه عليك امير وليس على بامير

Daripada as-Sahmi katanya, “Aku mendatangi Aba Amamah, lalu beliau berkata:

“Janganlah kamu mencela (mengutuk dan menghina) al-Hajjaj, kerana beliau adalah penguasa bagi kamu dan bukan penguasa bagiku.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari, at-Tarikh al-Kabir, 7/18, no. 83 - Maktabah Syamilah)

Abu Umamah tinggal di Syam, manakala as-Sahmi tinggal di Iraq yang mana pemimpin di Iraq ketika itu adalah al-Hajjaj B. Yusuf ats-Tsaqafi, gabernor kepada ‘Abdul Malik B. Marwan. Telah sedia maklum bahawa al-Hajjaj B. Yusuf ats-Tsaqafi ini adalah seorang pemimpin yang zalim, bengis, dan fasiq.

Syaikh ‘Abdul Malik Ramadhani al-Jaza’iri hafizahullah menegaskan:


وعلى كل حال فإن مجرَّد التحريض على السلطان المسلم ـ وإن كان فاسقا ـ صنعة الخوارج، قال ابن حجر في وصف بعض أنواع الخوارج: "والقَعَدية الذين يُزَيِّنون الخروجَ على الأئمة ولا يباشِرون ذلك"، وقال عبد الله بن محمد الضعيف: "قَعَدُ الخوارج هم أخبث الخوارج


“Apapun, walau hanya sekadar melakukan provokasi (menebar kebencian) terhadap pemerintah umat Islam walaupun pemerintah tersebut fasiq, ia telah layak dilabel khawarij. Ketika menjelaskan berkaitan beberapa pecahan kelompok khawarij, Ibnu Hajar berkata, “Di antaranya adalah al-Qa’adiyah, iaitu kelompok yang membuat provokasi (menebar kebencian) untuk keluar dari ketaatan terhadap pemerintah sedangkan mereka sendiri tidak terlibat secara langsung dalam pemberontakan tersebut.” ‘Abdullah B. Muhammad adh-Dhaif berkata, “Kelompok al-Qa’adiyah ini merupakan pecahan kelompok khawarij yang paling jijik.” (Madarikun Nadzar fii as-Siyasah, m/s. 266)


Sebab itulah antaranya Imam asy-Syaukani rahimahullah (Wafat: 1250H) menegaskan bahawa mereka yang menyebarkan kebencian terhadap para pemerintah wajib diambil tindakan supaya dia meninggalkan perbuatannya tersebut. Sekiranya dia berdegil, maka dia boleh dihukum penjara atau yang seumpamanya. Ini adalah sebagaimana kata beliau berikut:


ويؤدب من يثبط عنه" فالواجب دفعه عن هذا التثبيط فإن كف وإلا كان مستحقا لتغليظ العقوبة والحيلولة بينه وبين من صار يسعى لديه بالتثبيط بحبس أو غيره لأنه مرتكب لمحرم عظيم وساع في إثارة فتنة تراق بسببها الدماء وتهتك عندها الحرم وفي هذا التثبيط نزع ليده من طاعة الإمام


“Orang yang melakukan provokasi dan kekacauan (membakar emosi rakyat) untuk membenci pemerintah, mereka wajib diberi hukuman, maka yang diwajibkan adalah menghentikan perbuatannya (agar tidak timbul kekacauan). Jika mereka tidak juga berhenti dari melakukan kekacauan (provokasi tersebut), maka mereka berhak mendapat hukuman yang berat dan dipisahkan daripada orang-orang yang mereka provokasikan, sama ada dengan cara dipenjara atau selainnya. Ini adalah kerana mereka telah melakukan suatu perkara yang sangat-sangat diharamkan dan dalam masa yang sama telah berusaha menebar fitnah yang berpotensi mengakibatkan pertumpahan darah serta mencemarkan kehormatan yang menodai harga diri. Provokasi seperti inilah yang menyebabkan seseorang keluar dari ketaatan terhadap pemerintah.” (asy-Syaukani, as-Sailul Jarrar, 1/942 – Maktabah Syamilah)


Ini kerana perbuatan mencela dan dan melaungkan kebencian terhadap pemerintah ini mengandungi larangan yang berat dan akibat yang buruk. Ia termasuk salah satu ciri kebid’ahan khawarij. Bahkan tidak sedikit para pemerintah yang terbunuh akibat dari perbuatan provokasi dan kritikan secara terbuka yang kemudiannya melahirkan bibit pemberontakan. Di antaranya adalah dari kalangan khulafa’ur Rasyidin sendiri seperti khalifah ‘Utsman radhiyallahu ‘anhu. Di mana sebab utama terbunuhnya ‘Utsman radhiyallahu ‘anhu adalah apabila gabernornya mula dicela. Secara automatik, ia memberi kesan kepada beliau sebagai orang yang bertanggungjawab melantik mereka. Fitnah-fitnah kebencian terhadap ‘Utsman juga turut disebarkan sehingga keadaan menjadi kacau-bilau. Akhirnya ‘Utsman pun dibunuh.

Dari semua ini, seharusnya kita sedar dan tidak menyia-nyiakan masa yang ada dengan menyibukkan diri menentang pemerintah. Sebaliknya hendaklah kita melazimi ilmu yang benar demi memahami sebuah manhaj yang murni dan haq iaitu ahlus sunnah wal-jama’ah yang berdiri di atas nash-nash al-Qur’an, al-hadis, dan kefahaman salafus soleh.

Wallahu a’lam...

Isnin, Mac 19, 2012

Hamba Allah Yang Bersyukur !



Menjadi Hamba Yang Bersyukur .............
 

Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memberi kepada kita nikmat yang terlalu besar dan banyak. Bahkan nikmat yang tidak ternilai harganya. Nikmat hidup, nikmat udara, nikmat air, nikmat makanan, nikmat kesihatan, nikmat ilmu, dan selainnya tanpa mampu dihitung. Termasuk di dalamnya adalah nikmat keamanan dan kemerdekaan. Manakala nikmat yang paling besar adalah nikmat Islam dan iman.

Maka bersyukurlah kita dengan nikmat-nikmat Allah tersebut. Kerasa syukur adalah sebahagian dari tujuan penciptaan dan perintah-Nya. Allah Subhaanhu wa Ta’ala berfirman:

وَاللَّهُ أَخْرَجَكُمْ مِنْ بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ لا تَعْلَمُونَ شَيْئًا وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالأبْصَارَ وَالأفْئِدَةَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

“Dan Allah mengeluarkan kamu dari pertu ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu apa pun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan, dan al-af’idah (akal dan hati) agar kamu bersyukur.” (Surah an-Nahl, 16: 78)

Allah Ta’ala menjelaskan bahawa salah satu tanda syukur adalah dengan mengabdikan diri kepadanya, iaitu mentauhidkannya. Sesiapa yang tidak mensyukuri nikmat-nikmat-Nya, maka dia belum benar-benar mentauhidkan-Nya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah jika benar-benar kamu mentauhidkan-Nya.” (Surah al-Baqarah, 2: 172)

Allah Subhanahu wa Ta’ala juga telah mewahyukan kepada para Nabi dengan perkara yang serupa, berupa perintah mentauhidkan-Nya dan perintah supaya bersyukur. Allah berfirman:
وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

بَلِ اللَّهَ فَاعْبُدْ وَكُنْ مِنَ الشَّاكِرِينَ

“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada (nabi-nabi) yang sebelum kamu. Jika kamu mensyirikkan Allah, nescaya akan terhapuslah amalan kamu dan sudah tentu kamu termasuk orang-orang yang rugi. Oleh itu, hendaklah Allah sahaja yang kamu sembah dan hendaklah kamu termasuk orang-orang yang bersyukur.” (Surah az-Zumar, 39: 66)

Tipu Daya Iblis

Ketika musuh Allah iaitu Iblis mengetahui kedudukan, keagungan, dan ketinggian sifat syukur maka ia pun berusaha untuk menjauhkan manusia dari sikap syukur tersebut. Ia berkata sebagaimana yang disebutkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam al-Qur’an:
ثُمَّ لآتِيَنَّهُمْ مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَانِهِمْ وَعَنْ شَمَائِلِهِمْ وَلا تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ

“Kemudian aku (Iblis) akan mendatangi mereka dari depan mereka, dari belakang mereka, dari kanan mereka, dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan dari mereka itu bersyukur.” (Surah al-A’raaf, 7: 17)

Dari keseluruhan manusia secara umumnya, jumlah mereka yang bersyukur amat-amatlah sedikit. Oleh itu kita perlu berusaha dengan sedaya-upaya kita dan sentiasa ingat agar kita termasuk dalam kelompok yang diberkahi tersebut walaupun sedikit lagi terasing. Iaitu kelompok orang-orang yang bersyukur. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَقَلِيلٌ مِنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ

“... Dan amat sedikit dari hamba-hamba-Ku yang bersyukur.” (Surah Saba’, 34: 13)
وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لا يَشْكُرُونَ

“... akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.” (Surah al-Baqarah, 2: 243)

Istidraj
Suatu nikmat yang datang juga boleh jadi sebagai satu bentuk ujian bagi seseorang. Sama ada dia beryukur atau kufur, sama ada dia redha atau merungut. Beruntunglah mereka yang bersyukur dan merasa qona’ah.

Sebahagian besar masyarakat atau kelompok manusia di negara-negara luar tertentu banyak diuji dengan kesusahan, kemelaratan, dan kemiskinan hidup. Tetapi kita di Malaysia secara umumnya diuji dengan kesenangan, kemudahan, dan kemewahan hidup. Semoga Allah menjadikan kita sebagai kelompok masyarakat yang bersyukur kepada-Nya.

Kalau sekiranya kita melihat diri kita ini terus-menerus mendapat nikmat dari Allah, tetapi dalam masa yang sama kita sentiasa bermaksiat kepada-Nya, maka ada sesuatu yang perlu kita renungkan. Berhati-hatilah dengannya. Takut-takut ia menjadi satu bentuk ujian dan istidraj (kesenangan yang memperdaya). Jangan biar kita hanyut dalam nikmat dan kesenangan tersebut tanpa mensyukurinya. Kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّى إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُمْ بَغْتَةً فَإِذَا هُمْ مُبْلِسُونَ

“Maka ketika mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka - sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami siksa mereka dengan secukupnya, maka ketika itu mereka terdiam berputus-asa.” (Surah al-An’am, 6: 44)

Sebaliknya jika seseorang hamba itu memiliki kedudukan, kelebihan, atau nikmat dari sisi Allah lalu dia menjaganya dengan penuh rasa syukur kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, nescaya Allah akan tambahkan lagi bagi dirinya dengan sesuatu yang lebih baik berbanding apa yang sedia ada. Jika tidak di dunia, nescaya di akhirat. Tetapi sekiranya ia meremehkan sikap untuk bersyukur, maka Allah akan memperdayakannya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لأزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

“Dan ingatlah ketika Tuhan-mu menyatakan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan tambahkan (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat tersebut), maka sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih.” (Surah Ibrahim, 14: 7)

Allah subhanahu wa Ta’ala juga berfirman:
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالأرْضِ وَلَكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

“Sekiranya penduduk negeri-negeri tersebut beriman dan bertaqwa, sudah tentu Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami), maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.” (Surah al-A’raaf, 7: 96)

Mensyukuri Nikmat

Cara mensyukuri nikmat boleh dibahagikan kepada tiga bentuk keadaan. Iaitu dengan hati, dengan lisan, dan dengan anggota badan (amalan fizikal). Mensyukuri dengan hati adalah dengan meneguhkan tauhid, keimanan, dan mengakui nikmat-nikmat tersebut datangnya dari Allah Subhanahu wa Ta’ala. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَمَا بِكُمْ مِنْ نِعْمَةٍ فَمِنَ اللَّهِ ثُمَّ إِذَا مَسَّكُمُ الضُّرُّ فَإِلَيْهِ تَجْأَرُونَ

“Dan apa jua nikmat yang ada pada kamu, maka dari Allah-lah ia datang, dan apabila kamu ditimpa oleh kemudharatan, maka hanya kepada-Nya-lah kamu meminta pertolongan.” (Surah an-Nahl, 16: 53)

Mensyukuri nikmat Allah dengan lisan adalah dengan sentiasa memperbanyakkan pujian serta mengingati-Nya (dengan zikir dan doa) di setiap keadaan sebagaimana yang disyari’atkan. Di antara pintu syukur melalui lisan adalah dengan ucapan hamdalah.

Manakala mensyukuri nikmat dengan anggota badan adalah dengan cara menggunakan anggota badan untuk amal-amal kebaikan serta mencari keredhaan Allah serta dengan tidak menggunakan nikmat-nikmat yang dimiliki untuk perkara-perkara yang dibenci oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Semoga kita mampu menjadi manusia yang paling bahagia dengan menjadikan nikmat-nikmat yang kita kecapi sebagai sarana mencari redha Allah Subhanahu wa Ta’ala. Iaitu dengan menjadikan setiap rezeki dan kelebihan yang diusahakan sebagai aset untuk mentauhidkan dan bersyukur kepada Allah. Setiap nikmat yang dikurniakan Allah kita jaga dengan cara mentaati dan melaksanakan perintah-Nya serta kita menjaganya dengan cara memeliharanya sebagaimana diperintahkan.

Sebaliknya semoga kita tidak menjadi manusia yang malang lagi mengkufuri nikmat-nikmat Allah dengan menggunakan kelebihan nikmat-nikmat tersebut untuk bermaksiat kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala sehingga mengundang kemurkaan-Nya.

Sifat syukur dan insaf dapat lahir antaranya dengan selalu melihat kesusahan dan kepayahan orang lain. Sebaliknya jangan terlalu asyik melihat kelebihan orang lain sehingga membuatkan diri merungut rasa kekurangan. Oleh itu di samping merasa syukur, ia perlu diiringi juga dengan sikap qona’ah, iaitu merasa cukup dengan apa yang kita miliki dan mengusahakannya sekadar kemampuan tanpa berlebih-lebihan mengejar apa yang di luar kemampuan.

Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Salam bersabda:
إِذَا نَظَرَ أَحَدُكُمْ إِلَى مَنْ فُضِّلَ عَلَيْهِ فِي الْمَالِ وَالْخَلْقِ فَلْيَنْظُرْ إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلَ مِنْهُ مِمَّنْ فُضِّلَ عَلَيْهِ

"Apabila salah seorang dari kamu memandang orang yang diberi kelebihan melebihi harta dan bentuk tubuhnya, hendaklah ia memandang orang yang lebih rendah darinya di mana ia diberi kelebihan berbanding orang tersebut." (Hadis Riwayat Muslim, 14/212, no. 5263)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

قَدْ أَفْلَحَ مَنْ أَسْلَمَ وَرُزِقَ كَفَافًا وَقَنَّعَهُ اللَّهُ بِمَا آتَاهُ

“Benar-benar beruntung seseorang yang masuk Islam, kemudian mendapat rezeki yang secukupnya dan Allah menganugerahkan pula kepadanya sifat qona’ah (merasa cukup dan redha) dengan rezeki yang Allah berikan kepadanya.” (Hadis Riwayat Muslim, 5/276, no. 1746)

Bersyukur Walau Sedikit

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda dari atas mimbar:
مَنْ لَمْ يَشْكُرِ الْقَلِيلَ، لَمْ يَشْكُرِ الْكَثِيرَ، وَمَنْ لَمْ يَشْكُرِ النَّاسَ، لَمْ يَشْكُرِ اللهَ. التَّحَدُّثُ بِنِعْمَةِ اللهِ شُكْرٌ، وَتَرْكُهَا كُفْرٌ، وَالْجَمَاعَةُ رَحْمَةٌ، وَالْفُرْقَةُ عَذَابٌ

“Siapa yang tidak mampu mensyukuri nikmat yang sedikit, maka ia tidak akan mampu mensyukuri nikmat yang banyak. Dan siapa yang tidak mampu berterima kasih kepada manusia, maka ia tidak akan mampu bersyukur kepada Allah. Membicarakan nikmat Allah adalah syukur, meninggalkannya adalah kufur. Hidup berjama'ah adalah rahmat, manakala perpecahan adalah azab.” (Hadis Riwayat Ahmad, 30/390, no. 18449. Kata al-Haitsami, “Diriwayatkan oleh Ahmad, ath-Thabrani, dan al-Bazzar. Para perawi keduanya tsiqah.” Dinilai sahih oleh al-Albani. Lihat juga Majma’ az-Zawa’id, 5/392 oleh al-Haitsami dan Tahqiq Musnad Ahmad oleh Syu’aib al-Arnauth)

Nikmat Keamanan dan Kemewahan
Harga dan nilai barangan sentiasa turun naik setiap hari. Tetapi taraf hidup masyarakat di negara kita umumnya jauh lebih baik berbanding 10 hingga 20 tahun lalu. Ini suatu yang wajib disyukuri. Kalau 15 tahun lalu di desa-desa, kanak-kanak ke sekolah rendah dan menengah dengan berbasikal meredah becak tanah merah, tetapi sekarang ramai yang sudah bergaya bermotorsikal ke sekolah dengan jalan berturap walupun sebahagiannya tidak berlesen.

Di universiti pula rata-rata pelajarnya sudah bekereta, sehingga jalan-jalan dan tempat-tempat letak kenderaan Universiti penuh sesak. Inilah antara nikmat kemewahan yang kita kecapi walupun dalam masa yang sama harga bahan api kenderaan melambung tinggi.

Ketika penulis di sekolah dulu, nikmat telefon bimbit memang tidak pernah dikecapi. Bahkan telefon bimbit termasuk sebahagian gadget mewah yang bukan sebarangan orang mampu memilikinya.

Tetapi hari ini, Allah menganugerahkan kemudahan telefon bimbit dengan harga yang jauh lebih murah dengan kualiti yang jauh lebih baik. Kalau dulu harganya mahal tetapi dengan screen monochrome, tetapi hari ini harganya murah fungsinya pelbagai. Caj perkhidmatan yang dikenakan pun amat rendah berbanding dulu. Ruang lingkup telekomunikasi dan perhubungan menjadi lebih mudah dan pantas. Sehingga kanak-kanak di sekolah pun dibekalkan telefon bimbit oleh ibu atau bapa.

Taraf pendidikan di negara kita secara umumnya semakin meningkat. Lebih ramai mampu melanjutkan pelajaran. Peluang pekerjaan pula terbuka luas. Sama ada sebagai penjawat awam, di sektor swasta, mahupun bekerja sendiri.

Kalau sekitar 20 tahun lalu, orang-orang di kampung keluar menoreh getah dan memetik kelapa sawit dengan berbasikal atau motorsikal Honda Cup 70. Tetapi hari ini ramai di antara mereka telah keluar ke kebun dengan berkereta sambil mengecapi nikmat rumah besar yang penuh keselesaan.

Kemudahan untuk beribadah juga amat baik. Masjid-masjid tersergam indah. Umat Islam bebas mengamalkan agamanya. Bebas untuk bersolat, bebas untuk berpuasa, bebas untuk berhari-raya. Cuma adakalanya mungkin disebabkan “masjid terlalu besar” dan luas, jumlah orang yang menunaikan solat di masjid nampak terlalu sedikit. Inilah di antara hasil keamanan yang ada di negara kita berbanding di negara-negara Islam lain yang sebahagiannya hendak menunaikan solat fardhu berjama’ah pun terancam nyawanya. Jadi, syukurilah nikmat masjid ini dengan memenuhinya di setiap kali tiba waktu solat.

Nikmat makanan di negara kita tidak lagi dapat dinafikan. Walaupun ramai yang mengeluh mengatakan banyak harga makanan meningkat tetapi hakikatnya majoriti rakyat Malaysia tiada yang mati kerana kebuluran. Sebaliknya ramai yang mati kerana terlalu banyak makan. Buktinya, dalam hari-hari perayaan ini sahaja terlalu banyak undangan makan di rumah-rumah terbuka. Pelbagai menu dan juadah dihidang percuma.

Sehingga terlebihnya nikmat kemewahan, tidak kurang ramai yang menghisap rokok sebaik selesai makan. Demikianlah hakikat kemewahan yang dikecapi di negara ini, sebahagiannya sampai terlupa mensyukurinya hingga terlajak melakukan kemungkaran menghisap rokok.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَآتَاكُمْ مِنْ كُلِّ مَا سَأَلْتُمُوهُ وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لا تُحْصُوهَا إِنَّ الإنْسَانَ لَظَلُومٌ كَفَّارٌ

“Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari setiap apa yang kamu ingini dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu bukan pada tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.” (Surah Ibrahim, 14: 34)

Sepatutnya, inilah antara nikmat-nikmat keamanan dan kemewahan yang perlu kita syukuri. Hargailah ia sebagai sarana untuk menuntut ilmu-ilmu yang syar’i dan mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan cara yang benar. Bukan sebagai alat untuk bermaksiat dan melakukan kekufuran. Hamparkanlah sifat qona’ah dan tawakkal, serta buangkanlah jauh-jauh sikap suka merungut dan berkeluh-kesah. Renungilah kesusahan dan kesempitan orang lain, nescaya kita akan rasa sangat beruntung.

Semoga kita tidak menjadi orang yang hanya mengenal nikmat-nikmat tersebut setelah Allah menariknya kembali.
اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

“Ya Tuhanku berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu/bapaku dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai. Dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh.” (Surah an-Naml, 27: 19)

Wallahu a’lam...


Abu Numair Nawawi B. Subandi 

Jumaat, Februari 24, 2012

Keistimewaan Wanita dalam Islam !


Keistimewaan & keikhlasan ?



Dgn NamaMu Ya Allah Yg Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang


Selawat dan Salam ke Atas Rasulullah SAW

Assalamualaikum Warahmatullah


1. Doa wanita lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayang yang
lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah S.A.W
akan hal tersebut,jawab baginda: "Ibu lebih penyayang daripada bapa dan
doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia."

2. Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1,000 orang lelaki
yang soleh.

3. Barang siapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya
seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah S.W.T dan orang yangtakutkan Allah S.W.T akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

4. Barang siapa yang membawa hadiah (barang makanan dari pasar ke rumah)
lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah.
Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barang
siapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan
anak Nabi Ismail A.S

5. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku
(Rasulullah S.A.W) di dalam syurga.

6. Barang siapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara
perempuanatau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan, lalu dia
bersikap ihsandalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan
penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya adalah syurga.

7. Daripada Aisyah r.a. "Barang siapa yang diuji dengan sesuatu daripada
anak-anak perempuannya, lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka
mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.

8. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

9. Apabila memanggil akan engkau dua orang ibubapamu, maka jawablah
panggilan ibumu dahulu.

10. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu
neraka dan terbuka pintu-pintu syurga.
Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.

11. Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung di
udara, malaikat di langit, matahari dan bulan, semuanya beristighfar
baginya selama mana dia taat kepada suaminya dan direkannya (serta menjaga
sembahyang dan puasanya).

12. Aisyah r.a berkata "Aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W, siapakah
yang lebih besar haknya terhadap wanita?
Jawab baginda, "Suaminya.""Siapa pula berhak terhadap lelaki?"
Jawab Rasulullah S.A.W "Ibunya."

13. Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa sebulan Ramadan,
memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari
pintu syurga mana sahaja yang dia kehendaki.

14. Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah
S.W.T memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya
(10,000 tahun).

15. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka
beristighfarlah para malaikat untuknya.Allah S.W.T mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebaikan dan
menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.

16. Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah
S.W.T mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah
S.W.T

17. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia daripada
dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

18. Apabila telah lahir (anak) lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap
satutegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.

19. Apabila semalaman (ibu) tidak tidur dan memelihara anaknya yang
sakit,maka Allah S.W.T memberinya pahala seperti memerdekakanya 70 oranghamba dengan ikhlas untuk memb
ela agama Allah S.W.T

Jumaat, Februari 10, 2012

Kembali Kepada AlQuran dan Hadis !

Sikap Rakyat Terhadap Pemerintah Yang Dianjurkan Rasulullah s.a.w.




Imam al-Barbahari berkata:
“Apabila engkau melihat orang yang mendo’akan kejelekan bagi penguasa maka ketahuilah bahwa dia seorang pengikut hawa nafsu. Apabila engkau melihat orang yang mendo’akan kebaikan bagi penguasa, maka dia adalah pengikut sunnah, insya-Allah.” (Syarhus Sunnah, hal. 113) 

Sesungguhnya taat kepada penguasa adalah termasuk ke dalam dasar aqidah/i’tiqad Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Tidak ada yang menyelisihi aqidah ini kecuali kelompok yang jahil atau pengikut hawa nafsu. Cukuplah usaha yang bersungguh-sungguh dari para ulama dalam menjelaskan aqidah yang murni ini di dalam kitab-kitab mereka sebagai bukti akan agungnya dan keutamaan kewajiban taat kepada penguasa/pemerintah/kerajaan. Bahkan dahulu dikatakan: “Enam puluh tahun bersama penguasa yang zalim itu adalah lebih baik daripada semalam tanpa penguasa.” (Fiqh as-Siyasah asy-Syar’iah, hal. 121, DR. Kholid al-Anbari Dar Minhaj)

Kewajiban mendengar dan taat kepada penguasa terletak kepada seluruh perkara yang bukan perkara maksiat kepada Allah s.w.t., kerana tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam soal kemaksiatan kepada Allah. Dalil-dalil yang menerangkan usul yang agung ini di antaranya adalah sebagai berikut:

Allah s.w.t. berfirman;

Hai orang-orang yang beriman, ta’atilah Allah dan ta’atilah Rasul(Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berselisihan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur’an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (Surah an-Nisa [4]: 59)

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah Rahimahullah menyatakan:

“Ulil Amri mencakupi dua golongan, iaitu ulama dan penguasa.” (Majmu’ Fatawa, 18/158) (Lihat pula Tafsir at-Thobari, 5/93, Ibnu Katsir, 1/530, Fathul Bari, 8/254, Risalah at-Tabukiah, hal. 47)

Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa Sallam juga bersabda;

Wajib bagi seorang muslim untuk mendengar dan taat (kepada penguasa) dalam perkara yang ia senangi dan ia benci kecuali apabila diperintah berbuat kemaksiatan. Apabila penguasa memerintahkan melakukan kemaksiatan maka tidak perlu didengari dan ditaati (kemaksiatan itu). (Hadis Riwayat Bukhari 13/121, Muslim 3/1469)

Al-Hafizh Ibnu Hajar al-Asqalani Rahimahullah menyatakan: “Hadis ini menunjukkan wajibnya taat kepada penguasa, hal itu berlaku dalam perkara yang bukan maksiat. Hikmahnya taat kepada penguasa adalah agar menjaga persatuan kalimat, kerana yang dinamakan sebagai perpecahan adalah kehancuran.” (Fathul Bari, 13/112)
Wajibnya taat kepada penguasa adalah bersifat umum, tidak kira sama ada kepada penguasa yang baik atau yang zalim selama mana mereka masih muslim, mengerjakan solat, tidak boleh memberontak sehinggalah jelas kekafirannya. Inilah keyakinan Ahlus Sunnah wal Jama’ah, mereka mendahulukan nash-nash (dalil-dalil) syar’i dan tidak mengikut hawa nafsu. Persoalan ini berbeza dengan keyakinan sebahagian kelompok Islam yang membolehkan memberontak apabila melihat penguasa berlaku zalim (merupakan salah satu sifat/sikap puak Khawarij), atau kelompok yang terlalu menganggap suci penguasa hingga maksum dan tidak perlu menasihatinya!! (Ini berlaku di dalam kaum Syi’ah/Rafidhah). Allahu al-Musta’an. (Perbahasan ini banyak mengambil hujjah-hujjah dari dua sumber utama Muamalatul Hukkam Fi Dhauil Kitab was Sunnah oleh Abdus Salam bin Barjas, al-Wardul Maqthuf oleh Fauzi al-Atsari dengan sedikit tambahan oleh penulis)

ADAB KEPADA PENGUASA
Islam mengatur bagaimana seharusnya hubungan di antara rakyat dengan penguasa, agar hubungan ini berjalan dengan harmoni sehingga terbentuklah sebuah susunan/jalinan masyarakat yang diidam-idamkan. Berikut ini adalah sebahagian adab kepada penguasa;

1. Menghormati penguasa

Islam sangat memuliakan penguasa, ini adalah kerana beratnya tugas yang mereka tanggung/pikul. Tidak boleh bagi sesiapa pun untuk memperlekehkan penguasa, sama ada dengan celaan, ghibah (umpatan) atau yang selainnya. Namun amat mendukacitakan ajaran yang mulia ini (yang berlandaskan al-Qur’an & as-Sunnah) sudah banyak dilupakan oleh sebahagian kaum muslimin. Jangan hairan seandainya ada penguasa dijatuhkan kehormatannya (diaibkan), dicela dan direndahkan. Ketahuilah wahai saudaraku, Rasulullah melarang keras sikap merendah-rendahkan penguasa, Baginda Shalallahu 'alaihi wa Sallam bersabda;

Para penguasa adalah naungan Allah di muka bumi. Barangsiapa yang memuliakan penguasa, Allah akan memuliakannya. Barangsiapa yang menghina penguasa, Allah akan menghinakan dia. (Hadis Riwayat Baihaqi 17/6, as-Sunnah, Ibnu Abi Ashim, 2/698. Lihat as-Sahihah 5/376)

Imam Ibnu Abi Ashim dalam kitabnya as-Sunnah (2/727) dari Muawiyah bin Abi Sufyan dia berkata: “Ketika Abu Dzar keluar menuju Robadzah dia bertemu dengan sekelompok penduduk dari Iraq. Mereka berkata: ‘Wahai Abu Dzar kami sudah tahu apa yang dilakukan penguasa ke atas-mu, duduklah dan pasangkanlah bendera pemberontakan, maka orang-orang akan berhimpun bersamamu.’ Abu Dzar berkata: ‘Tenang.. tenang wahai saudara se-islam, sesungguhnya aku mendengar Rasulullah bersabda: ‘Akan ada sepeninggalanku para penguasa. Hormatilah mereka, barangsiapa yang mencari-cari keburukannya, sungguh dia telah meruntuhkan dinding Islam. Tidak akan diterima taubatnya sehingga dia mengembalikan dinding yang dirosakkannya itu sebagaimana awalnya.”

Semoga Allah merahmati Sahl bin Abdullah at-Tustari yang telah berkata: “Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mereka menghormati penguasa dan para ulama. Apabila mereka mengagungkan dua golongan ini, Allah akan memperbaiki dunia dan akhirat mereka. Apabila mereka merendahkannya, bererti mereka telah menghancurkan dunia dan akhirat mereka sendiri.” (Tafsir al-Qurthubi, 5/260)

2. Jangan dicela

Mencela penguasa adalah kesalahan yang besar. Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa Sallam bersabda;

Janganlah kalian mencela penguasa kalian, jangan kalian menipu dan membencinya. Bertakwa dan bersabarlah kepada Allah, sesungguhnya perkaranya dekat. (Hadis Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’abul Iman 6/69, Ibnu Abi Ashim dalam as-Sunnah 2/488, Tahqiq DR. Basim Jawabirah dan beliau menghasankannya)

Ziyad bin Kusaib al-Adawi berkata: “Aku pernah bersama Abu Bakrah duduk di bawah mimbar Ibnu Amir yang sedang berkhutbah dan memakai pakaian tipis. Abu Bilal berkata: ‘Lihatlah pemimpin kita, dia memakai pakaian orang fasik!’ Abu Bakrah berkata: “Diamlah! Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah bersabda: Barangsiapa yang menghina penguasa Allah di muka bumi, Allah akan menghinakannya.” (as-Sahihah, 5/376)

Larangan mencela penguasa bukan hanya kerana memelihara kehormatan kepada mereka semata, akan tetapi demi membendung dan mencegah kerosakan/keburukan yang besar. Tidak mustahil bahawa diawali dengan soal cela-mencela akan berakhir dengan pemberontakan. Fahamilah wahai saudaraku! Taatilah sunnah Rasulullah dan pendirian para sahabat-sahabat Rasulullah.

3. Ingkarul mungkar kepada penguasa

Amar ma’ruf nahi mungkar merupakan salah satu asas yang sangat penting di dalam agama ini. Tegaknya amar ma’ruf nahi mungkar akan membawa kepada lahirnya kebaikan dan menghapuskan pelbagai kebatilan/kemungkaran. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman;

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar; mereka adalah orang-orang yang beruntung. (Surah Ali Imran [3]: 104)

Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa Sallam bersabda;

Barangsiapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya. Apabila tidak mampu maka dengan lisannya. Apabila tidak mampu maka dengan hatinya. Dan itulah selemah-lemah iman. (Hadis Riwayat Muslim, 49. Ahmad 3/10, Abu Daud, 1140. Tirmidzi, 2172. Nasa’i 8/111. Ibnu Majah 1275. Ibnu Hibban 306)

Lantas apabila sudah jelas kewajiban amar ma’ruf nahi mungkar, bagaimanakah cara yang syar’i dalam mengingkari kemungkaran penguasa? Hal ini perlu difahami dengan baik, agar kita tidak tersalah dalam mengatur langkah sebagai seorang muslim yang taat dan soleh. Janganlah kerana terburu-buru mengikut nafsu, amar ma’ruf nahi mungkar yang diingini menatijahkan kepada kerosakan yang lebih parah lantaran kaedah yang salah dan menjauhi Sunnah.

Ibnu Nuhas Rahimahullah berkata: ‘Mencegah kesalahan penguasa tidak boleh dengan kekuatan tangan, tidak boleh mengangkat senjata, atau mengumpulkan orang untuk memberontak, kerana akan membangkitkan fitnah, menimbulkan keburukan dan menjatuhkan kewibawaan penguasa, bahkan berupaya mendorong rakyat untuk memberontak, menghancurkan negeri dan yang seumpamanya dan kejelekan yang tidak samar lagi.” (hal. 46)

Imam Ahmad rahimahullah berkata:

“Penguasa tidak boleh ditentang, kerana pedangnya terhunus.” (al-Adab asy-Syar’iah, 1/197)

Imam Ibnu Muflih rahimahullah berkata: “Tidak boleh bagi seorang pun untuk mengingkari penguasa kecuali dengan nasihat dan peringatan dari hukuman dunia dan akhirat, perkara itu wajib dan selain itu tidak boleh.” (al-Adab asySyar’iah, 1/195)

Manhaj Ahlus Sunnah dalam masalah ini adalah berusaha mengumpulkan hati manusia agar mencintai penguasa, menyebarkan rasa cinta di antara rakyat dan penguasa, menunjuki rakyat agar bersabar atas keburukan penguasa walaupun penguasa mereka memonopoli terhadap harta, dan perbuatan zalimnya dan lain-lain. Istiqamah menasihati penguasa dengan rahsia, memperingatkan penguasa dari kemungkaran secara umum tanpa menyebutkan individu orangnya, seperti memperingatkan bahaya zina secara umum, riba secara umum, korupsi (penyelwengan) secara umum dan yang seumpamanya. (Muamalatul Hukkam, hal. 111)

Renungilah penjelasan ini wahai saudaraku, fahamilah dan berfikirlah dengan akal yang sihat, terimalah dengan hati yang terbuka nescaya engkau akan selamat dari jeratan dan hembusan syubhat orang yang menyimpang dari jalan yang lurus ini.

4. Menasihati secara rahsia

Penguasa adalah sebahagian dari kaum muslimin, mereka berhak dinasihati. Akan tetapi menasihati penguasa tidak sama seperti menasihati orang lain, renungilah hadis berikut;

Barangsiapa yang hendak menasihati penguasa, janganlah ia menampakkannya secara terang-terangan, akan tetapi hendaklah ia memegang tangannya, kemudian bersendirian dengannya. Apabila penguasa itu mahu menerima nasihat, maka itulah yang diinginkan. Apabila tidak, sesungguhnya dia (yang menasihati) telah menunaikan kewajibannya. (Hadis Riwayat Ibnu Abi Ashim 2/507, Ahmad 3/403, Hakim 3/290, hadis ini disahihkan oleh Syaikh al-Albani dalamDhilalil Jannah, hal. 507)

Imam al-Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan bahawasanya Usamah bin Zaid pernah ditanya:

“Tidakkah engkau menemui Utsman kemudian menasihatinya?” Beliau menjawab: “Apakah kamu fikir aku tidak menasihatinya kecuali harus memberitahumu?! Sungguh aku telah menasihatinya dengan empat mata, dan aku tidak ingin membuka rahsia.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari 6/330, al-Fath 13/48, Muslim 4/2290)

Al-Hafizh Iyadh rahimahullah berkata:

“Maksud Usamah adalah dia tidak ingin membuka pintu pengingkaran kepada penguasa secara terang-terangan, kerana khuwatir timbul akibat yang buruk. Bahkan hendaklah mengingkari dengan lemah lembut, menasihati secara rahsia kerana hal itu lebih mudah diterima.” (Fathul Bari, 13/52)

Tempuhlah cara yang selamat ini wahai saudaraku seiman, nasihati penguasa secara rahsia dan bukanlah dengan terang-terangan (dipertontonkan), jangan menyebarkan keburukkannya di mimbar-mimbar bebas, di tempat-tempat umum, di pentas ceramah, media-media massa & cetak, majalah-majalah & risalah-risalah, demonstrasi, atau apa saja dari cara-cara yang menyelisihi prinsip Ahlus Sunnah. Janganlah kita tertipu dengan kebanyakan orang yang menempuh cara seperti itu walaupun mungkin niat pelakunya baik, kerana cara yang demikian adalah jelas menyelisihi manhaj Ahlus Sunnah.

5. Bersabar atas kezaliman

Bersabar atas kezaliman penguasa termasuk dasar/prinsip Aqidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Dalil-dalil dalam masalah ini sangat banyak, bahkan hadis-hadis dalam masalah ini mencapai darjat yang mutawatir. Allah s.w.t. berfirman;

Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah) (QS. Luqman [31]: 17)

Barangsiapa yang melihat sesuatu yang ia benci dari penguasanya maka hendaklah ia bersabar. Barangsiapa yang meninggalkan jama’ah walau sejengkal maka dia mati dalam keadaan jahiliyyah. (Hadis Riwayat al-Bukhari, 7143 & Muslim, 1849)

Nabi Shalallahu 'alaihi wa Sallam bersabda (yang ertinya): “Sesungguhnya akan ada setelahku para pemimpin yang mementingkan diri mereka sendiri, perkara-perkara yang kalian ingkari.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah apa yang engkau perintahkan kepada kami?” Beliau menjawab: “Hendaklah kalian menunaikan kewajiban kalian dan mintalah hakmu kepada Allah. (Hadis Riwayat al-Bukhari 13/5, Muslim 3/1472)

Imam Hasan al-Bashri Rahimahullah menyatakan: “Ketahuilah kezaliman penguasa adalah kemurkaan dari kemurkaan Allah. Kemurkaan Allah tidaklah dihadapi dengan pedang, akan tetapi dengan takwa, tolaklah dengan do’a, taubat dan menjauhkan dosa.” (Adab, al-Hasan al-Bashri hal. 119)

Imam Ibnu Abil Izzi rahimahullah berkata:

“Adapun taat kepada penguasa tetap wajib sekalipun mereka zalim, kerana keluar dari ketaatan terhadap mereka akan menimbulkan keburukkan yang banyak melebihi kezaliman mereka. Bahkan sabar di atas kezaliman penguasa adalah penghapus dosa, melipat gandakan pahala, kerana tidaklah Allah menimpakan hal itu kecuali kerana keburukkan perbuatan kita sendiri. Balasan itu setimpal dengan perbuatan. Wajib bagi kita untuk bersunguh-sungguh meminta ampun kepada Allah, taubat dan memperbaiki diri. Maka apabila rakyat ingin membebaskan diri dari kezaliman penguasa hendaklah mereka mengawali dengan meninggalkan perbuatan zalim pada diri mereka sendiri.” (Syarah al-Aqidah at-Thohawiyyah, 2/542) (Alangkah bagusnya ucapan Abdul Malik bin Marwan ketika berkata: “Berlaku adillah kepada kami wahai seluruh rakyat. Kalian menghendaki dari kami seperti pemerintahan Abu Bakar dan Umar, akan tetapi kalian tidak mahu berjalan bersama kami dan tidak pula mencontohi di zaman Abu Bakar dan Umar”. (Sirojul Muluk, hal.100))

6. Memberontak?!

Memberontak terhadap penguasa hukumnya adalah haram walau bagaimanapun keadaan dan keburukkan penguasa.

Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa Sallam bersabda (yang ertinya); Sebaik-baiknya penguasa adalah yang kalian mencintainya dan mereka mencintai kalian. Kalian mendo‘akannya dan mereka mendo’akan kalian. Seburuk-buruknya penguasa adalah yang kalian membencinya dan mereka pun membenci kalian, kalian mencacinya dan mereka mencaci kalian.” Rosulullah ditanya: “Wahai Rasulullah tidakkah kita memberontak dengan pedang?” beliau menjawab: “Jangan, selama mereka masih menegakkan solat.” Apabila kalian melihat sesuatu yang kalian benci dari penguasa kalian, maka bencilah perbuatannya dan janganlah kalian mencabut ketaatan dari mereka. (Hadis Riwayat Muslim, 3/1481)

Imam al-Barbahari berkata:

“Tidak halal memerangi penguasa dan memberontak sekalipun mereka itu zalim. Tidak ada di dalam sunnah yang namanya memberontak kepada penguasa, kerana hal itu akan membawa kerosakan agama dan dunia.” (Syarhus Sunnah, hal. 78) (Imam Nawawi berkata: “Adapun memberontak dan memerangi penguasa adalah haram berdasarkan kesepakan kaum muslimin sekalipun mereka zalim dan fasiq”. (Syarah Sahih Muslim, 12/229))

Sungguh sejarah telah mencatat kekejaman seorang yang bernama Hajjaj bin Yusuf as-Tsaqofi. Dia telah banyak membunuh jiwa, sehingga sahabat yang mulia Abdullah bin Zubair radhiyallahu 'anhu terbunuh. Lantas bagaimana Sikap para sahabat yang lain, apakah mereka menyusun kekuatan untuk memberontak? Wallahi, tidak sama sekali, bahkan mereka tetap menganjurkan untuk mendengar dan taat. Zubair bin Adiy berkata: “Kami mendatangi Anas bin Malik mengeluhkan perihal Hajjaj. Anas menjawab:

“Bersabarlah, kerana tidaklah datang sebuah zaman kecuali yang setelahnya akan lebih buruk sehingga kalian berjumpa dengan Rabb kalian, aku mendengar ini dari Nabi kalian.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 13/20)

Walau bagaimanapun memberontak kepada para penguasa adalah suatu yang haram dan dilarang. Akan tetapi sangat mengecewakan, kerana masih ada (ramai) orang-orang yang menyelisihi hal ini dengan lisan dan perbuatan! Bahkan ada yang begitu gigih bersekutu dengan syaitan untuk memalingkan manusia dari jalan Allah. Mereka menghasut rakyat untuk memberontak dengan melakukan pelbagai makar dan dakwah seperti demonstrasi, ceramah yang mencaci maki, dan seumpamanya kepada penguasa atas nama keadilan, demokrasi, dan amar ma’ruf nahi mungkar!!

Sesungguhnya, perbuatan mereka amat jauh menyimpang dari saranan sunnah Rasulullah dan golongan ulama Salafus soleh sendiri.

Salah satu makar/muslihat Yahudi yang membunuh Utsman bin Affan radhiyallahu 'anhu selalu berwasiat kepada pengikutnya: “Mulailah dengan mencela para penguasa kalian dan tampakkanlah bahawa hal itu sebagai amar ma’ruf nahi mungkar, maka hati manusia akan condong kepada kalian, kemudian barulah ajak mereka untuk memberontak!”. (Tarikh Rusul, 4/340 oleh Ibnu Jarir at-Thabari)

7. Mendo’akan kebaikan

Abu Utsman Said bin Ismail berkata: “Nasihatilah penguasa, perbanyakkan mendo’akan kebaikan bagi mereka dengan ucapan, perbuatan dan hukum. Kerana apabila mereka baik, rakyat akan baik. Janganlah kalian mendo’akan keburukkan dan laknat bagi penguasa, kerana keburukkan mereka akan bertambah dan bertambah pula musibah bagi kaum muslimin. Do’akanlah mereka agar bertaubat dan meninggalkan keburukkan sehingga musibah hilang dari kaum muslimin.” (Su’abul Iman, 13/99)

Fudhail bin Iyadh berkata:

“Andaikan aku mempunyai do’a yang mustajab niscaya akan aku panjatkan untuk penguasa.” (Dikeluarkan oleh Abu Nuaim dalam al-Hilyah, 8/91)

Maka kami mengajak seluruh kaum muslimin untuk mendo’akan kebaikan penguasa kita, kerana kebaikan mereka adalah kebaikan rakyat juga. Kami menyeru kepada seluruh khatib, da’i dan alim ulama, do’akanlah kebaikan bagi para pemimpin, sama ada dalam khutbah Juma’at atau yang lain-lain kerana hal itu termasuk sunnah yang telah ditinggalkan (semakin diabaikan).

Imam al-Barbahari berkata:

“Apabila engkau melihat orang yang mendo’akan kejelekan bagi penguasa maka ketahuilah bahwa dia seorang pengikut hawa nafsu. Apabila engkau melihat orang yang mendo’akan kebaikan bagi penguasa, maka dia adalah pengikut sunnah, insya-Allah.” (Syarhus Sunnah, hal. 113)

PENUTUP

Ketahuilah wahai saudaraku, musibah yang silih berganti datang menimpa negeri kita adalah ketentuan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Maka jangan salahkan sesiapa. Jangan salahkan penguasa atau rakyatnya. Hendaknya kita memuhasabah diri terhadap kesalahan, kerana tidaklah musibah yang menimpa melainkan sebab perbuatan/perlakuan kita sendiri. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar) (Surah ar-Ruum [30]: 41)

Perbuatan syirik, bid’ah, maksiat masih sering kita temui dan berleuasa di dalam masyarakat kita, sedarkah kita bahawa ini adalah salah satu sebab musibah.

Lantas bagaimana agar musibah ini dapat dihilangkan/dihapuskan atau setidak-tidaknya dapat dikurangkan? Penyelesaiannya wahai saudaraku, perhatikan firman Allah sebagai berikut:

Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri... (Surah ar-Ra’d [13]: 11)

Berusahalah agar selalu taat kepada Allah, tinggalkan dosa, insya-Allah musibah ini akan hilang, negeri menjadi makmur, dan Allah pun akan memilihkan para nyang baik. (Malik bin Dinar menceritakan bahwa Hajjaj as-Tsaqafi pernah berkata: “Ketahuilah, sesungguhnya setiap-kali kalian berbuat dosa maka Allah akan menimpakan balasannya kepada penguasa kalian.” (as-Syari’ah, hal. 38 oleh al-Ajurri))

Dikisahkan ada seorang Khawarij yang datang menemui Ali bin Abi Thalib lalu berkata:

“Wahai khalifah Ali, mengapa pemerintahanmu banyak dikritik oleh orang tidak sebagaimana pemerintahannya Abu Bakar dan Umar?!.” Sahabat Ali Menjawab:

“Kerana pada zaman Abu Bakar dan Umar yang menjadi rakyat adalah aku dan orang-orang yang sepertiku, sedangkan rakyatku adalah kamu dan orang-orang yang seumpamamu!!” (Syarh Riyadhus Sholihin, 3/43, oleh Ibnu Utsaimin). Wallahu a’lam...