Khamis, September 22, 2011

Legenda Mata Air Unta Putih

Etnik Salar ...Provinsi Qinghai, Xunhua Cina.....Islam.

 

Etnik Salar merupakan salah satu daripada 10 etnik minoriti yang beragama Islam di China. Mereka kebanyakannya tinggal di Kaunti Autonomi Etnik Salar Xunhua, Provinsi Qinghai. Etnik Salar mempunyai sejarah selama lebih 800 tahun dan kebudayaan yang gemilang.
Bertolak dari Xining, ibu kota Provinsi Qinghai dengan menaiki kereta dan melalui gunung-ganang serta bukit-bukau, tibalah di Xunhua, bahagian tenggara Provinsi Qinghai yang berdekatan Sungai Kuning. Walaupun Xunhua terletak di kawasan dataran tinggi, namun cuacanya amat selesa seperti di kawasan selatan China.



Semakin dekat dengan Xunhua, semakin ramai kelihatan penduduk Etnik Salar berjalan-jalan di kedua-dua belah jalan. Ada wanita etnik tua Salar berjalan sambil memegang sebatang cangkul, nampaknya baru selesai bekerja di ladang dan akan pulang ke rumah. Ada juga pemuda etnik Salar yang menunggang motosikal dengan dibonceng oleh isterinya. Terdapat beberapa orang perempuan etnik Salar sedang bekerja di ladang, dengan tudung mereka telah menyerikan tanah ladang yang menghijau dan luas.
Mukim Jiezi di Xunhua merupakan tempat kediaman terawal bagi etnik Salar selepas mereka berhijrah dari Asia Tengah pada ratusan tahun yang lalu. Sebuah patung batu unta putih yang terletak di tengah persimpangan jalan merupakan mercu tanda Xunhua.
Unta putih dianggap sebagai lambang Etnik Salar. Han Fulin, seorang sarjana etnik Salar telah menceritakan sebuah legenda yang penuh keajaiban mengenai unta putih kepada wartawan. Legenda tersebut tentang penghijrahan Etnik Salar dari Asia Tengah ke timur dan akhirnya menetap di Xunhua sehinggalah sekarang.


"Mengikut ceritanya, lebih 800 tahun yang lalu, terdapat Puak Salar yang tinggal di Samarkand, Asia Tengah. Ketua Puak Salar, Mahmud al-Kashgari amat dihormati dan disayangi oleh rakyat tempatan sehingga beliau dicemburui oleh Maharaja negara itu. Maka puaknya yang dipimpin oleh Mahmud terpaksa berhijrah ke timur untuk mengelakkan malapetaka. Mereka berharap agar dapat mencari sebuah tempat kediaman yang damai dan harmoni.
Mereka bertolak menuju ke timur dengan membawa seekor unta putih. Mereka merentasi gunung-ganang dan merentasi padang pasir dengan keyakinan kepada Allah, sehingga akhirnya mereka tiba di kaki sebuah gunung berwarna merah di pesisir Sungai Kuning. Sewaktu itu, unta putih itu tiba-tiba menghilang. Barang-barang yang diangkut oleh unta putih itu termasuklah air dan tanah yang dibawa dari tempat asal mereka serta senaskhah salinan al-Quran tulisan tangan yang sangat berharga, semuanya turut hilang. Mereka berasa sangat cemas dan mencari-cari sepanjang malam. Akhirnya mereka mendapati bahawa unta putih itu sudah menjadi sebuah patung batu di tepi sebuah mata air. Semua barang yang diangkut oleh unta putih itu tetap berada di atas bonggolnya.
Orang ramai berasa terkejut akibat keajaiban yang berlaku itu. Air dan tanah yang terdapat dari tempat asal mereka adalah sama dengan air dan tanah di tepi mata air tersebut. Sejak itulah, mereka telah menetap di tempat yang berdekatan mata air tersebut dan bergaul dengan etnik-etnik tempatan seperti etnik Tibet dan lain-lain. Puak tersebut ialah etnik Salar pada masa sekarang yang penduduknya seramai kira-kira 100 ribu orang. Manakala tempat kediaman mereka adalah Xunhua pada hari ini."
Menurut catatan sejarah, nenek moyang etnik Salar yang sebenarnya telah berhijrah dari Samarkand, iaitu Turkmenistan sekarang ini dan menetap di Xunhua, Provinsi Qinghai pada akhir zaman Dinasti Song dan awal zaman Dinasti Yuan.
Jadi, di manakah sekarang terletaknya salinan al-Quran tulisan tangan dalam legenda tersebut?
Profesor Ma Chengjun, Presiden Kolej Ilmu Etnik dan Antropologi Universiti Minzu Qinghai menunjukkan bangunan yang bercorak Arab sambil berkata: "Itulah Muzium Simpanan Salinan al-Quran Tulisan Tangan Etnik Salar China."
"Tahukah saudara, hanya tinggal tiga naskhah salinan al-Quran tulisan tangan di seluruh dunia setakat ini? Salah satu daripadanya tersimpan di sini, kaunti Xunhua."


Muzium Simpanan Salinan Al-Quran Tulisan Tangan Etnik Salar China yang berhampiran Masjid Besar Jiezi Xunhua siap dibina pada tahun 2006. Salinan Al-Quran tulisan tangan tersebut mempunyai nilai sejarah yang amat penting dan merupakan bukti sejarah penghijrahan etnik Salar.
Dimaklumkan bahawa sebuah kumpulan pakar yang terdiri daripada sarjana agama Islam serta ahli arkeologi telah melakukan penilaian terhadap salinan al-Quran tulisan tangan tersebut pada bulan September tahun 2004. Mereka berpendapat bahawa salinan al-Quran tulisan tangan tersebut dihasilkan pada abad ke-8 hingga 13 Masihi dan merupakan salinan al-Quran tulisan tangan yang paling lama di China setakat ini.


Menurut Ma Chengjun, salinan al-Quran tulisan tangan ini berlainan dengan salinan al-Quran tulisan tangan yang lain di China kerana ini bukan disalin oleh orang Islam China, tetapi berasal dari negara-negara Arab. Jadi, salinan al-Quran tersebut juga mempunyai makna yang penting bagi Islam seluruhnya.
Salinan al-Quran tulisan tangan ini pernah dipamerkan di Syria pada tahun 1954. Setelah itu, salinan al-Quran tersebut disimpan di Istana Budaya Minzu Beijing selama lebih 20 tahun.
Selain daripada etnik Salar, juga terdapat penduduk etnik Tibet tinggal di Xunhua. Rumah asal Panchen ke-11 adalah terletak di Xunhua.
Encik Han Zhanxiang, budayawan kalangan rakyat etnik Salar memberitahu wartawan bahawa mereka amat terhutang udi kepada Panchen ke-11 kerana beliau memberikan bantuan yang cukup besar untuk mendapatkan salinan al-Quran tulisan tangan itu dipulangkan semula dan disimpan di Xunhua. Kata beliau,
"Panchan ke-11 pernah meninjau ke Xunhua pada tahun 1979. Kami menulis sepucuk surat kepada badan berkenaan kerajaan pusat memohon agar salinan al-Quran itu dipulangkan kepada Xunhua. Panchan ke-11 membantu kami membawa surat tersebut ke Beijing. Dan akhirnya, Istana Budaya Minzu Beijing bersetuju memulangkannya kepada Xunhua."
Pada tahun 1982, salinan al-Quran tulisan tangan disimpan dalam Masjid Besar Jiezi hingga tahun 2006.
Sebanyak 1.5 juta yuan RMB diperuntukkan oleh Jabatan Artifak Negara untuk memelihara salinan al-Quran tersebut pada tahun 2004.



Orang etnik Salar pandai menyanyi. Pelbagai muzik yang bercirikan etnik tersendiri telah dihasilkan seiring dengan perkembangan semasa. "Hua Er" ialah sejenis cara menyanyi dan disukai ramai di bahagian barat laut China.
Han Zhanxiang sangat berminat akan "Hua Er" Etnik Salar sejak mudanya lagi. Biasanya "Hua Er" dinyanyikan secara spontan. Perasaan riang serta pemandangan indah digabungkan semasa beliau menyanyikan "Hua Er".
Lagu "Hua Er" yang penuh dengan ciri etnik Salar ini bukan sahaja menceritakan pemandangan yang istimewa di Xunhua, tetapi juga menggambarkan kehidupan Etnik Salar yang bahagia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan