SEJARAH KESENIAN ISLAM
1.0 PENDAHULUAN
Agama Islam merupakan agama fitrah bagi manusia. Oleh sebab itulah setiap ajaran yang telah disyariatkan kepada umatnya sudah semestinya bertepatan dan selari dengan fitrah semulajadi mereka. Jika diperhatikan, setiap manusia biasanya akan cenderung kepada hiburan, khususnya terhadap seni muzik. Muzik adalah suatu tuntutan fitrah manusia. Akan tetapi, untuk memenuhi kehendak naluri manusia ini, tidak semua jenis muzik dibenarkan oleh Islam.Oleh kerana itulah, para ilmuan Islam telah memperkenalkan muzik mengikut acuan Islam agar mereka tidak terpesong.
Kesenian Islam telah mencapai tahap yang amat tinggi ketika era kegemilangan empayar Islam ketika dahulu. Malahan sememangnya tidak boleh dinafikan bahawa sebahagian besar cabang kesenian yang ada pada hari ini adalah sumbangan awal para ilmuan Islam. Mereka telah berjaya menghasilkan kerja seni yang luar biasa mutunya, malahan kekal hingga ke hari ini. Samada dari aspek seni muzik, seni khat,seni bina,seni sastera dan lainnya. Dalam pengkajian mengenai seni muzik, bangsa Yunani dikatakan perintis dalam bidang seni ini dan dipelopori oleh orang-orang Islam serta memajukannya. Perkembangan seni muzik berlaku pesat pada zaman kerajaan Abbasiyyah di mana kebolehan menyanyi dan bermain alat muzik dijadikan pra syarat untuk diterima bekerja. Kesannya lahirlah ramai tokoh terkemuka yang arif dalam bidang muzik seperti al-Farabi, al-Kindi, Khalil Ibn Ahmad dan lainnya.
2.0 DEFINISI MUZIK
Kalimah ‘muzik’ tidak dapat kita temui di dalam al-Qur’an dan al-Hadith. Walaupun di dalam al-Qur’an Allah s.w.t menceritakan kisah Nabi Daud (al-Qur’an, al-Nisa’ 4, 163; al-Isra’ 17, 55; al-Nur 24, 10; al-Ma’idah 5, 78; al-An’am 6, 84; al-Anbiya’ 21, 78; al-Furqan 25, 15) dan Nabi Sulaiman (al-Qur’an, al-Baqarah 2, 102; al-Nisa’ 4, 123; al-An’am 6, 84; al-Anbiya’ 21, 78; al-Naml 27, 15) yang memiliki mukjizat berkaitan dengan seni suara, namun istilah ‘muzik’ ini gagal ditemui di dalam al-Qur’an. Di dalam teks (matan) al-Hadith, kalimah ‘muzik’ sukar ditemui dan hanya beberapa kalimah sahaja yang boleh dikaitkan dengan muzik seperti al-Macazif, al-Ghina dan al-Mughaniyyah (Ishaq Suliaman, 2000, 2).
Asal penggunaan istilah muzik dan definisinya dari aspek terminologi adalah dipercayai bahawa kalimah ‘muzik’ berasal daripada bahasa Greek. Dikatakan telah dipinjam penggunaannya oleh orang-orang Islam pada kurun kelapan hingga kesepuluh Hijrah. Memandangkan asal kalimah ‘muzik’ ini daripada tamadun Greek, maka definisi yang dirumuskan oleh ahli muzikologi dan ahli etnomuzikologi adalah ‘seni dan sains memadukan bunyi atau nada suara atau bunyi alat bagi membentuk berbagai-bagai penyataan yang memuaskan emosi, estetika dan struktur bagi sistem kepercayaan yang membentuk asas kepercayaan (Lois Lamya’, 1993, 31).
Daripada definisi tersebut, terdapat tiga ciri utama yang mendasari ‘muzik’ itu sendiru iaitu :
1)Bunyi suara atau bunyi peralatan.
2)Hasilan yang memuaskan emosi dan estetika.
3)Memenuhi tujuan tertentu seperti sistem kepercayaan dan sebagainya.
Oleh itu, sekiranya kita mengambil tiga ciri tersebut dan mengaitkannya dengan beberapa bentuk ibadah di dalam Islam, maka akan ditemukan contoh-contoh ibadah tersebut yang berkaitan dengan muzik. Namun peralatan muzik tidak digunakan terutamanya di dalam ibadah yang berkaitan dengan al-Qur’an, haji, tahmid dan takbir hari raya (Ishak Suliaman, 2000, 4-5).
3.0 SEJARAH SENI MUZIK ZAMAN KERAJAAN ABBASIYYAH
Pengaruh muzik pada zaman Kerajaan Abbasiyyah telah mencapai kemajuan yang hebat. Ini kerana seni muzik telah mendapat tempat yang baik dari kalangan pemerintah dan juga orang ramai. Kehebatan dan kemajuan seni muzik ini dapat dilihat melalui lukisan-lukisan yang terdapat dalam kitab Alfun Al-Lail atau Hikayat Seribu Satu Malam, yang dihiasi dengan gambar-gambar sekumpulan ahli muzik yang sedang membuat persembahan mereka di hadapan khalifah. Ia menggambarkan betapa besarnya penghargaan umat Islam terhadap seni muzik pada masa itu di Kota Damsyik iaitu pada zaman Kerajaan Abbasiyyah (Ghazali Darusalam, 2001, 258).
Selain dari itu, perkembangan seni muzik mendapat kecemerlangannya pada ketika itu kerana Kerajaan Abbasiyyah menjadikan kemahiran dalam bidang muzik dan nyanyian sebagai syarat untuk mendapatkan pekerjaan. Hanya mereka yang cekap bermain alat-alat muzik dapat diterima menjadi pelayan, dayang-dayang dan inang pengasuh di istana atau di rumah pembesar serta hartawan. Oleh sebab itulah kebanyakan pemuda dan gadis menjadi kewajipan untuk mereka belajar dan mendalami bidang muzik.
Pada masa pemerintahan Khalifah al-Mahdi, para penyanyi telah diundang ke istana untuk menghiburkan khalifah. Salah seorangnya adalah Siyath yang datang dari Kota Mekah. Beliau telah diberikan perlindungan agar dapat bergerak bebas dalam istana dan juga diberikan saguhati atas persembahan beliau. Anak muridnya yang bernama Ibrahim al-Mausili juga telah mendapat tempat utama di istana Khalifah Harun al-Rashid. Ibrahim al-Mausili berasal dari keturunan bangsawan Parsi amat pandai bermain alat muzik gambus dan mempunyai anak murid yang ramai. Antaranya yang terkenal ialah Ishaq iaitu penyanyi istana kepada empat orang khalifah iaitu Khalifah Ma’mun, Khalifah Mu’tasim, Khalifah Wathiq dan Khalifah al-Mutawakkil (Mahmood, 1971, 171).
Di antara khalifah Bani Abbas, Khalifah Harun al-Rashid adalah khalifah yang paling meminati lagu-lagu dan muzik. Beliau memberi kurniaan saguhati yang banyak kepada penyanyi dan ahli muzik pada waktu pemerintahannya. Ramai penyanyi terkenal pada zaman Khalifah Harun al-Rashid seperti Mansur Zalzal, Ismail Abu Qasim, Miskin al-Madani dan lain-lain lagi (Mahmood, 1971,172).
Oleh kerana penekanan yang diberikan pemerintah pada waktu itu dalam bidang muzik, telah melahirkan ramai pemuzik terkenal seperti Ibnu Muhriz, Ibnu Misjah, Ibnu Suraji dan Basbas. Selain itu juga, mereka telah menghasilkan beberapa buah buku dalam bidang muzik untuk menjadi sukatan pelajaran. Buku-buku muzik Abu Abdul Rabbih telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris sebagai Unique Necklace, karya muzik al-Isfahan diterjemahkan kepada The Great Book of Song dan al-Nawairy diterjemahkan kepada The Extreme Needs. Karya lagu mereka sangat mengagumkan dunia Eropah dan menjadi sanjungan di sana. Pada waktu ini juga telah melahirkan seniman al-Syatibi yang merupakan seorang pemain biola yang terkemuka. Beliau sering memainkan biolanya pada waktu malam sehingga para gadis tidak dapat tidur kerana kelunakan gesekan biola al-Syatibi. Al-Syatibi menjiwai alat muziknya dengan gelak ketawa adik-adiknya sewaktu kecil, kesedihan beliau kerana kehilangan rakan dan ditinggalkan kekasih membuatkan al-Syatibi menangis sambil menggesek biolanya (Ghazali Darusalam, 2001, 258)
4.0 RIWAYAT HIDUP AL- FARABI DAN KEPERIBADIANNYA.
Al- Farabi adalah tokoh seni muzik yang terkenal pada zaman Kerajaan Abbasiyyah. Beliau adalah seorang pemuzik yang handal dan lagu hasil karya beliau meninggalkan kesan secara langsung kepada pendengarnya. Terdapat beberapa kekeliruan mengenai keturunannya yang sebenar. Sa’id Zaid dalam kitabnya al-Farabi menegaskan bahawa ahli-ahli sejarah berselisih pendapat tentang asal usul keturunannya (Za’id Said, t.t., 14). Mereka tidak sependapat dalam memberikan keterangan yang khusus mengenai al –Farabi. Umpamanya Ibn Abi Usaybi’ah dalam kitabnya Uyun al-anba menyebut bahawa beliau ialah Abu Nasr Muhammad bin Awzalagh bin Tarchan (Ibn Abi Usaybi’ah, 1965, 603). Ibn Khallikan pula menyebutnya Abu Nasr Muhammad bin Muhammad bin Tarchan bin Awzalagh al-Farabi (Ibn Khallikan,1972, 153). Sementara Ibn al-Qifti pula memberitahu bahawa nama al-Farabi sebenarnya ialah Abu Nasr Muhammad bin Muhammad bin Tarchan (Ibn al-Qifti, 1903, 277). Al Bayhaqi juga bersetuju dengan nama tersebut (al-Bayhaqi, 1935, 16-17).
Demikianlah berlakunya beberapa kelainan pendapat di kalangan ahli-ahli sejarah dari segi pencatatan keturunan serta nama al-Farabi. Walaubagaimanapun satu kesimpulan yang dapat di ambil ialah mereka semua sependapat tentang nama al-Farabi itu sendiri, walaupun berlaku beberapa perbezaan pendapat dari segi mencatatkan keturunan nasabnya dan nama bapanya. Mengenai hal ini, Sa’id Zaid berkata bahawa mereka semua bersetuju bahawa nama al-Farabi sebenarnya ialah Muhammad. Ketetapan ini telah digunakan oleh para sarjana dahulu hingga kini (Sa’id Zaid, t.t, 14).
Sehubungan dengan nama tersebut, Ali Abd al-Wahid Wafi telah menekankan tentang adanya gelaran yang telah diberikan kepada al-Farabi. Iaitu nama sebenarnya Muhammad, terkenal dengan panggilan Abu Nasr dan dipanggil pula dengan gelaran “al-Mu’allimu al-thani” (Guru Kedua). Tetapi panggilan yang paling masyhur ialah al-Farabi (Wafi, 1964, 569). Menurut beliau lagi tidak dapat diketahui dengan jelas bagaimanakah sebenarnya terjadinya panggilan Abu Nasr itu, sebab pada kebiasaannya apa yang sering berlaku, khasnya dalam peradaban masyarakat Asia Barat, ialah gelaran seumpama itu diberikan kepada seseorang bersesuaian dengan nama anak lelakinya yang sulung. Tetapi daripada catatan sejarah hidup al-Farabi terbukti bahawa beliau tidak pernah berkahwin. Hidup berkeluarga atau berumahtangga adalah satu hal yang asing bagi al-Farabi.
Mengenai tarikh kelahiran al-Farabi, para sarjana juga berselisih pendapat. Albert Nasri Nadir dalam kitab Ara Ahl al-Madinah al-Fadilah menulis bahawa al-Farabi dilahirkan pada sekitar tahun 259 H/870M (Nasri Nadir, 1968, 11). Haroon Khan Sherwani mencatatkan bahawa al-Farabi lahir sekitar tahun 257-339H/870-950M iaitu semasa pemerintahan Khalifah al-Mu’tamid ‘ala’llah (946-974M) dan meninggal dunia semasa pemerintahan Abu al-Qasim al-Muti’lillah (al-Muti’) iaitu pada tahun 861-945M. Manakala tempat lahir beliau pula, sejauh yang dapat dikesan oleh ahli-ahli sejarah terletak di satu tempat yang bernama Wasij dalam daerah Farab, Transoxiana, Turki.
Sebenarnya sangat sedikit maklumat mengenai al-Farabi yang dapat diketahui oleh para pengkaji. Walaupun begitu terdapat juga bukti yang menunjukkan bahawa beliau adalah dari Turki. Ibn Khallikan menjelaskan bahawa perkataan seperti Tarchan dan Awzalagh adalah beberapa nama Turki (Ibn Khallikan, 1972, 157). Sementara panggilan al-Farabi dinisbahkan kepada nama tempat beliau dilahirkan iaitu Farab yang kini dikenali sebagai Otrar. Beliau dikatakan berasal daripada sebuah keluarga yang mempunyai taraf sosial yang tinggi dan ternama, berdarah campuran Turki-Parsi.
Al-Farabi dikatakan meninggal dunia di Damsyik pada tahun 339H (950/951M) ketika berumur kira-kira lapan puluh tahun (Ibn Khallikan, 1972, 106). Jenazahnya disembahyangkan oleh Khalifah Sayf al-Dawlah al-Hamadani bersama-sama para sahabatnya dan dimakamkan di Kota Damsyik. Semasa hayatnya beliau banyak melakukan pengembaraan dalam menuntut ilmu pengetahuan seperti ke Baghdad, Syam, Damsyik dan sebagainya.
KEPERIBADIANNYA
Al-Farabi mengamalkan cara hidup zuhud dan cenderung pada pengasingan diri (‘uzlah). Ibn Khallikan mensifatkan al-Farabi sebagai orang yang paling zuhud pada ketika itu. Dengan cara hidup yang demikian, beliau dapat menggunakan sepenuh waktu untuk berfikir. Al-Farabi tidak tertarik untuk tinggal di rumah-rumah mewah dan melambangkan darjat serta taraf hidup yang tinggi seperti yang biasa dinikmati oleh golongan atasan, walaupun beliau berpeluang berbuat demikian (Saliba, 1973, 136). Khalifah Sayf al-Dawlah telah memberikan kepadanya sagu hati yang banyak dan lumayan daripada bait al-mal untuk perbelanjaan hariannya tetapi al-Farabi hanya mengambil empat dirham sahaja untuk kegunaannya. Berhubung dengan hal ini,berkemungkinan al-Farabi telah mendapat didikan dari dua tokoh sufi Islam yang terkenal pada ketika itu yang juga adalah guru beliau iaitu Abu Bakr al-Shibli dan Abu Mansur al-Hallaj (Encyclopedia Britannica, 1975, 9:s.v).
Al-Farabi juga terkenal sebagai seorang yang tekun belajar dan menuntut segala jenis ilmu pengetahuan. Beliau sangat berminat mengikuti aliran pemikiran daripada pelbagai ahli fikir. Selain itu, beliau banyak menghabiskan usianya dengan membaca dan menulis serta membuat komentar terhadap tulisan falsafah dan mantiq Yunani. Oleh kerana itu jugalah beliau tersenarai dalam nama-nama tokoh falsafah seperti al Kindi, Ibn Miskawayh dan lain-lain lagi ( Ibn Usaybi’ah. 1965, 603).
5.0 PENGLIBATAN AL-FARABI DALAM MUZIK
Terdapat perkara yang mengagumkan para pengkaji mengenai al-Farabi iaitu keupayaannya yang tinggi dalam penguasaan dan penggunaan bahasa. Ibn Khallikan melaporkan bahawa ketika berbicara dengan Sayf al-Dawlah dalam suatu majlis ilmiah yang baginda adakan, al-Farabi telah menyebut yang beliau menguasai “tujuh puluh dialek”. Kebolehannya itu sungguh menakjubkan kerana beliau berupaya menguasai pelbagai loghat serta dapat pula menggunakannya.Ini kerana Jamil Saliba mengatakan bahawa al-Farabi telah menggunakan kepelbagaian bahasa ini dalam menulis kitabnya yang ternama dalam bidang muzik iaitu al-Muziqi al-Kabir. Kitab itu membuktikan yang al-Farabi dapat menggunakan bahasa Parsi, Turki, Kurdi dan Arab (Saliba, 1973, 137).
Al-Farabi, selain daripada menulis buku muzik, beliau juga pandai bermain alat muzik. Kebolehannya ini telah beliau tunjukkan sewaktu berada dalam majlis Sayf al-Dawlah. Ibn Khallikan telah merakamkan kebolehannya itu seperti ringkasan berikut:
‘Suatu hari, bertempat di Istana Sayf al-Dawlah, suatu majlis perbincangan ilmu pengetahuan telah diadakan. Majlis itu dipengerusikan oleh baginda sendiri dan dihadiri oleh ramai para sarjana daripada pelbagai bidang ilmu. Al-Farabi hadir dalam majlis itu berpakaian Turki. Setelah lama mereka berbincang, Sayf al-Dawlah bertanyakan al-Farabi sama ada mahu atau tidak al-Farabi menikmati minuman atau makanan. Jawab al-Farabi “Tidak”, “muzik?” , “ya”, jawab al-Farabi. Sayf al-Dawlah telah memanggil suatu kumpulan pemain muzik yang terbaik untuk membuat persembahan. Tetapi persembahan itu tidak begitu menarik perhatian al-Farabi. Beliau sebaliknya mengkritik pertunjukan tersebut, lalu Sayf al-Dawlah bertanya “apakah tuan juga mempunyai pengetahuan seni?” “Ya” jawab al-Farabi. Kemudian baginda meminta al-Farabi bermain alat muzik. Al-Farabi membuka begnya lalu mengambil ‘ud (lute) dan segera memainkannya. Para pendengar terpesona dengan kepandaiannya. Beliau memainkan alatan itu menurut rasa sentiment mereka dengan mengubah irama menjadikan mereka semua tertawa, menangis dan tertidur (Ibn Khallikan, 1972, 155-156)’.
Demikianlah gambaran tentang kebolehannya dalam bidang muzik dan permainan alat muzik. Kerana kepintarannya yang ditunjukkannya itu menjadikan Sayf al-Dawlah terus menyukai al-Farabi hingga baginda tidak dapat berpisah lagi dengan beliau hingga ke akhir hayatnya. Beliau juga menulis buku dalam bidang muzik dengan tujuan untuk memberi idea yang lebih baik kerana buku-buku Yunani yang terdahulu banyak terdapat kekaburan. Beliau bertindak menyumbang sesuatu yang lebih baik mengenai muzik dan alatannya. Beliaulah orang yang mereka alat muzik bernama “rebab” dan “qanun” (Waliur Rahman 1936, 139-140; Jamil Ahmad, 1977, 135).
Seperkara lagi yang penting dan harus diperkatakan ialah mengapa al-Farabi dianggap sebagai guru kedua adalah kerana usahanya meletakkan dasar ilmu muzik itu. Aristotle telah mendapat gelaran guru pertama kerana beliau meletakkan dasar ilmu logik dalam sejarah. Begitu jugalah al-Farabi yang telah meletakkan dasar pertama ilmu muzik dalam sejarah.Ilmu muzik telah dikenali sejak zaman Pythagoreans. Pythagoras telah membuat ringkasan dan perbahasan mengenai muzik, manakala al-Farabi telah berusaha menyempurnakan ilmu muzik dan menjelaskan kekurangan perbahasan muzik Pythagoras (Oemar Amin Hoesin, 1975, 89).
Al-Farabi telah mengarang buku ilmu muzik dalam lima bahagian. Kini, buku-buku ini masih dalam bentuk naskah dan belum lagi diterbitkan dalam bahasa Arab, akan tetapi sebahagiannya telah diterbitkan dalam bahasa Perancis oleh D. Erlanger. Al-Farabi turut menghasilkan sebuah buku yang mengandungi pengajaran dan teori muzik Islam berjudul al-Muziqi al-Kabir dan beberapa karya muzik lain yang telah diterjemahkan bertajuk Grand Book on Music, Styles in Music dan On the Classification of Rhythm. Buku-buku ini telah menjadi rujukan penting di Eropah dan memberikan sumbangan penting dalam penciptaan noy-not muzik (Mahayudin Yahya,2000).
Teorinya tentang harmoni dalam muzik belum lagi dipelajari secara mendalam oleh ahli muzik. Hal ini sangat penting kerana pada bahagian ini, al-Farabi telah membahaskan tentang estetika dan nilai muzik dalam kedamaian serta keharmonian jiwa. Seorang sarjana Barat yang bernama Sarton telah menerbitkan buku bertajuk “Introductian to the History of Science” yang mengatakan bahawa al-Farabi telah mempunyai pengetahuan tentang muzik mensural dan telah mengetahui tentang adanya major ketiga 4:5 dan minor ketiga 5:6 sebagai konsonan (Oemar Amin Hoesin, 1975, 90).
6.0 TEORI MUZIK AL-FARABI
Sistem mod muzik bahasa Arab adalah salah satu mod yang paling luas dan memiliki sejarah yang panjang. Sistem nada mod muzik dalam bahasa Arab berdasarkan teori oktaf (diwan) skala tujuh belas, sembilan belas atau dua puluh empat nota. Selain itu, temperamen umumnya tidak sama dan fungsinya diatonik pada dasarnya. Jenis mod maqam berasal dari seluruh negeri Arab, Afrika Selatan (Habsyah dan Kenya), Turki (Azerbaijan, Uzbekistan, Kazakhstan), Iran, Armenia, Eropah (Greece, Bulgaria, Serbia, Croatia, Macedonia dan Albania).
Maqam adalah cara untuk menghasilkan laras irama dan mod muzik yang mencipta rangka kerja setiap lagu. Terdapat perbezaan maqam mengikut rakyat setiap negara dan tradisi muzik klasik mereka. Melodi Arab yang menarik dikenali sebagai maqamat.Buku tentang muzik Arab telah memasukkan sebanyak lima puluh dua melodi mod yang sekurang-kurangnya dua belas atau lebih yang sering digunakan umum. Seperti Rast, Bayati, Hijaz, Huzam, Saba, Nahawand, Kurdis, Sikah, Nakriz, Suznak dan Ajan. Mod ini lebih banyak nada irama daripada sistem muzik Barat yang lebih sedikit laras iramanya.
Al-Farabi adalah pemuzik Arab pertama yang menulis tentang keseluruhan irama atau nada daripada muzik Arab dalam bukunya kitab al-Muziqi al-Kabir. Setelah itu, al-Urmawi telah memodenkan maqam, namun masih berdasarkan rujukan kitab muzik al-Farabi. Al-Urmawi menggambarkan sistem tala untuk empat chorus (empat ganda string). Oud menggunakan nota ketujuh puluh diwan (oktaf).
Selain itu, pengkaji muzik Barat juga tidak dapat lagi menemui tentang bagaimanakah al-Farabi dan al-Urmawi mendapat maklumat muzik mereka tentang maqam Arab atau sistem nada dan maqam mereka. Menurut al-Farabi maqam telah ditentukan namanya mengikut beberapa bahagian atau ciri :-
1)Menetapkan suatu catatan penting dalam maqam ‘skala’ seperti rast atau Nawa.
2)Menetapkan nama maqams selepas melalui bandar-bandar seperti: Asfahan dan Nahawand.
3)Menetapkan nama maqam selepas permandangan seperti: Bandar Hijaz atau Iraq.
4)Menetapkan nama maqam setelah melalui kawasan etnik seperti: Mahour (http://leb.net/rma/Articles/Samaie-Farhafza.pdf).
Maqam trichords ditakrifkan sebagai urutan tiga nota, tetrachord adalah pemprosesan berdekatan empat nota dan pentachords adalah urutan lima nota. Secara umum setiap maqam terdiri daripada yang lebih rendah dan lebih tinggi merangkumi tiga atau lebih sekuens. Ada juga terdapat maqam sekunder (penindihan) yang boleh dimasukkan ke dalam mod mengikut kesesuaian. Maqam yang terdapat pada muzik Arab banyak sekuens kuno atau yang jarang digunakan. Ada juga ketidakseimbangan tentang panjang setiap urutan: 3, 4, atau 5 nota. Terdapat tiga cara untuk mencipta model skala daripada tetrachord yang terdapat dalam sistem maqam:
1)Terpisah-pisah (Munfasil)
2)Bersambung (Muttasil)
3)Tumpang tindih atau memasukkan (Mutadkhil)
Contohnya maqam yang didasarkan pada G tune dan terdiri daripada dua tetrachords terpisah-pisah dan satu tetrachords tindih. Pertama, Nahawand terpisah-pisah tetrachords pada G. Yang kedua adalah pada D Rast tetrachords dan ketiga pada B Ajam tumpang tindih tetrachords seperti yang ditunjukkan dalam gambar di bawah.
Maqam Nahawand mempunyai dua versi. Secara umum versi pertama (Nahawand-Hijaz) digunakan pada ketika nada muzik menaik dan versi kedua (Nahawand-Kurdi) digunakan ketika nada muzik rendah dan ke bawah seperti yang ditunjukkan gambar di bawah:
Maqam Nahawand mempunyai dua versi. Secara umum versi pertama (Nahawand-Hijaz) digunakan pada ketika nada muzik menaik dan versi kedua (Nahawand-Kurdi) digunakan ketika nada muzik rendah dan ke bawah seperti yang ditunjukkan gambar di bawah:
Trichord Ajam, suara yang sangat mirip dengan tiga catatan dalam skala besar pada muzik klasik Barat. Nota ketiga disusun lebih rendah daripada biasanya menjadikan muzik klasik Barat itu sebagai skala besar. Seperti ditunjukkan dalam gambar di bawah:
Al-Farabi secara teoritinya telah membahagikan diwan (oktaf) menjadi dua puluh lima interval yang menunjukkan terdapatnya pada alat muzik Oud.
7.0 ALATAN MUZIK ARAB
1)Oud: Biasanya berbentuk pir, berleher pendek dan berpapan pada jari gitarnya, berukuran lima hingga enam sentimeter. Alat muzik ini dimainkan seperti gitar yang berbunyi kuat dan microtone yang fleksibel yang membuatnya sangat popular di dunia Arab dan Timur Tengah.
2)Qanun: Alat muzik Arab yang mendatar dan mempunyai dua puluh enam tali pemetik yang dipetik seperti gitar. Ianya disusun ke nota asas daripada suatu skala yang dinaikkan atau diturunkan dengan menghentikan rentetan pada tali pemetik.
3) Kaman: Bentuknya seperti biola Barat.
4)Nay: Sebuah seruling buluh terbuka, ditiup dengan pelbagai mod dengan nada yang mendesah, mampu memghasilkan nada dinamik dan infleksi. Sering digunakan di samping alat muzik tablah.
5)Tablah (Darbukkah, Derbouka): Sebuah drum tangan yang biasanya berbentuk pasu. Diperbuat daripada seramik atau logam (http://leb.net/rma/Articles/Samaie-Farhafza.pdf)
RUJUKAN
Al-Qur’an
Al-Bayhaqi, Abu al-Hasan ‘Ali Ibn Zayd. 1935. Tatimma Siwan al-Hikma, disunting oleh Muhammad Shafi, Lahore : ‘al-Farabi’
Encyclopedia Britannica. 1975. ‘al-Farabi’
Al-Farabi. 1968. Kitab Ara’ Ahl al-Madinah al-Fadilah. Disunting oleh Albert Nasri Nadir. Beirut: Dar al-Mashriq
Ghazali, Darusalam. 2001. Sumbangan Sarjana Dalam Tamadun Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd.
Hoesin, Oemar Amin. 1975. ‘al-Farabi’ dalam Filsafat Islam. Jakarta: Bulan Bintang.
Ishak Suliaman. 2000. ‘Perkembangan Baru dalam Seni Muzik di Malaysia dan Pengaruhnya Terhadap Hukum’ (Kertas Kerja Seminar Hukum Islam Semasa III).
Ibn Abi Usaybi’ah. 1965. Uyun al-Anba’ fi Tabaqat al-Attiba’. Tahqiq oleh Sazar Rida. Beirut
Ibn al-Qifti. 1963. Kitab Ikhbar al-Ulama’ bi akhbar al-Hukama. Disunting oleh Julius Lippert. Leipzig.
Ibn Khallikan. 1972. Wafayat al-A’yan wa Anbai Abnai al-Zaman, Jilid 5. Tahqiq oleh Ihsan ‘Abbas. Beirut: Dar al-Thaqafah.
Lois, Lamya’. 1993. Al-Faruqi: “Shari’ah Tentang Muzik dan Ahli Muzik” dalam Ismail R. al-Faruqi: Fikiran dan Budaya Islam. Masood (terj). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mahayudin, Yahya. 2000. Tamadun Islam. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Rahman, Mutazib Waliur. 1936. “al-Farabi” and Its Theory of Dreams, Islamic Culture, Vol. 10: Hyderabad
Saliba, Jamil. 1973. Fasal 1: “al-Farabi” dalam Tarikh al-Falsafah al-‘Arabiyah. Beirut: Dar al-Kutub al-Lubnani.
Wafi, ‘Ali ‘Abd al-Wahid.1964. “Ara’ Ahl al-Madinah al-Fadilah Li al-Farabi.” Turath al-Insani, Vol. 2.
Zaid, Sa’id. t.t. “al-Farabi”: al-Qahirah, Misr. Cetakan Kedua, Dar al-Ma’arif.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan